Jumaat, 15 Mei 2009

Panel khas baiki program TV

Oleh S Anand Kumar


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan panel khas bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan input masing-masing ke arah memperbaiki program televisyen dan radio demi merealisasikan matlamat 1Malaysia.

Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata ketika ini industri penyiaran tempatan banyak menerima bahan serta program yang diimport tanpa mengira sama ada ia sesuai dalam usaha membina dan mengukuhkan perpaduan.

“Bagaimanapun, ia (import) akan berterusan tetapi pada masa sama, kita mesti berusaha mewujudkan program dan menentukan corak penyiaran yang dapat membawa kepada keharmonian di kalangan masyarakat kita.

“Kementerian percaya melalui panel ini, kita dapat menerima pandangan ke arah memperbaiki program televisyen dan radio, membabitkan semua kaum,” katanya pada sidang media selepas merasmikan portal MIC di sini, semalam yang turut dihadiri Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Rais berkata, baru-baru ini beliau mengadakan pertemuan bersama semua pemilik stesen televisyen dan radio di negara ini dan meminta mereka memainkan peranan masing-masing dalam menyiarkan program yang boleh menjayakan konsep 1Malaysia.

“Perkara ini penting untuk membina perpaduan kukuh dikalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Bagi merealisasikan perkara ini, adalah penting untuk kita memberi ruang kepada pelbagai komuniti di negara ini menampilkan budaya masing-masing menerusi siaran televisyen sama ada dimiliki kerajaan atau swasta.

“Ini adalah antara beberapa langkah positif yang kementerian usahakan untuk membina sebuah perpaduan yang kukuh dan turut merasakan ia wajar serta adil kerana memberi peluang kepada semua kaum untuk menampilkan budaya masing-masing,” katanya.

Rais berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan turut memantau perkara itu bagi memastikan sesuatu program yang disiarkan itu benar-benar memberi faedah kepada masyarakat di negara ini.

“Saya sudah memberitahu kepada SKMM untuk memberi kerjasama dengan memantau segala program supaya ia dapat memberi faedah kepada masyarakat kita,” katanya.

Tiada ulasan: