Sabtu, 16 Mei 2009

Norman ditemui berpeluh-peluh dalam bilik kecil

Oleh Siti Nurazlinee Azmi


KUALA LUMPUR: Pelakon, Norman Hakim yang menghadapi tuduhan khalwat dengan pelakon Memey, muncul dengan keadaan berpeluh-peluh sebaik saja pintu sebuah bilik kecil dalam premis pejabat dibuka pegawai penguat kuasa pejabat Agama Daerah Gombak, Oktober lalu.

Saksi pertama pendakwa, Pegawai Penguat kuasa Abdul Rahman Lai Abdullah, 32, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam ketika berada di tingkat atas premis, beliau menuju ke bahagian yang berhubung dengan tingkat bawah dan sebaik saja pintu kayu itu ditolak, Norman Hakim muncul tiba-tiba dengan hanya memakai kemeja T putih dan seluar ketat paras lutut berwarna biru.

“Ketika ditemui, dia kelihatan tenang dan belum sempat saya menyoal, tertuduh menerangkan dia berada di situ kerana ingin mengetahui apa yang sedang berlaku di tingkat bawah.

“Ketika kejadian, di tempat menyimpan barang di mana tertuduh lelaki berada, saya tidak nampak keadaan di bawah kerana tempat itu gelap, sempit dan tidak boleh berdiri dengan selesa,” katanya.

Katanya, sebelum naik ke tingkat atas, di tingkat bawah premis ada kawasan kosong seperti laluan angin yang bahagian atas mempunyai jeriji besi menghubungkan kedua-dua tingkat itu.

“Oleh kerana berasakan seperti ada tidak kena, saya arah diperiksa bahagian atas dan terus memecahkan mangga di jeriji besi sebaik saja tertuduh perempuan mengatakan dia tidak ada kunci pintu atas.

“Saya masuk ke dalam dan terus memeriksa setiap bilik. Bilik kedua di bahagian atas itu mempunyai pakaian yang digantung kemas dan katil bujang tanpa tilam,” katanya.

Beliau menjawab soalan Pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi pada perbicaraan kes Norman atau Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 21, yang dituduh berkhalwat di pejabat di S4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Abdul Rahman berkata, selepas menemui Norman Hakim, berlaku soal balas apabila tertuduh terus-terusan mempertikaikan tindakan penguat kuasa dan asyik berdolak-dalik, terutama ketika saksi memintanya menyerahkan kad pengenalan.

“Saya beberapa kali menerangkan kepada tertuduh kesalahan itu hanya disyaki, belum lagi disabitkan. Saya meminta dia memberi kerjasama. Tertuduh kemudian memohon kami tidak membawanya ke balai polis berikutan dikenali ramai. Saya memberitahu itu prosedur setiap kali tangkapan khalwat dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, tertuduh meminta izin untuk menukar pakaian dan kemudian kami membawanya ke tingkat bawah di tempat Memey ditemui sebelum dibawa ke Balai Polis Taman Melawati.

Terdahulu, Abdul Rahman berkata, pihaknya mengambil masa lebih setengah jam untuk menunggu pintu utama tingkat bawah premis dibuka.

“Kami bergilir-gilir mengetuk jeriji besi, selain mengenalkan diri kepada penghuni, bagaimanapun tiada sebarang jawapan diperoleh. Selepas lebih setengah jam, saya memberi amaran bahawa dalam masa lima minit jika pintu tidak dibuka, penguat kuasa akan memecahkannya,” katanya.

Abdul Rahman berkata, belum sempat beliau memotong mangga di jeriji besi, muncul seorang lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai abang tertuduh (Norman Hakim) iaitu, Mohd Sofi Zaidon dan mengakui beliau dihubungi oleh adiknya.

“Sebaik saja pintu dibuka oleh abang tertuduh, kami masuk ke dalam dan ternampak tertuduh perempuan duduk di kerusi berhadapan kaunter dan dia kelihatan tenang seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Tertuduh tidak banyak bercakap dan saya tinggalkan dia bersama anggota saya,” katanya.

Katanya, beliau bersama dua anggota melakukan pemeriksaan setiap bilik dan mendapati satu bilik seperti ruang pejabat mempunyai set sofa dan tilam bujang di lantai.

Perbicaraan di depan Hakim Syarie Salehudin Yatim bersambung 3 Julai ini.

Tiada ulasan: