Khamis, 28 Mei 2009

Mkini: Permohonan Taib Mahmud ditolak

MALAYSIA KINI


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud supaya dibuang perenggan-perenggan tertentu dalam kenyataan membela diri Malaysiakini.

Hakim Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan tersebut dalam kamarnya pagi ini.

Katanya, perenggan-perenggan berkenaan dalam kenyataan bela diri itu - yang dipohon oleh Taib supaya dibuang - mengandungi fakta-fakta penting yang relevan dan menyokong justifikasi pembelaan tersebut.

Oleh itu, Zabariah menolak permohonan Taib dengan kos.

Malaysiakini diwakili oleh peguam Fahri Azzat dan Farah Mohd Afizah, manakala Yee Mei Ken mewakili Taib.

Berikutan itu, kes tersebut akan dibicarakan kecuali Taib memfailkan rayuan terhadap keputusan rmahkamah hari ini.

Ketua menteri Sarawak itu telah memfail saman fitnah terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya, Steven Gan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Mei 2007.

Ia ekoran satu siri artikel yang disiarkan oleh portal berita itu yang mendakwa pembabitan Taib dalam skandal balak, berdasarkan artikel-artikel yang sebelumnya disiarkan oleh media Jepun seperti Japan Times dan Kyodo News.

Malaysiakini telah memfailkan kenyataan membela diri terhadap saman fitnah oleh Taib itu.

Bagaimanapun, Taib telah memfail permohonan pada awal November 2007 supaya dibuang beberapa perenggan dalam kenyataan tersebut yang didakwanya 'tidak relevan' dengan saman fitnahnya itu.

Tiada ulasan: