Jumaat, 8 Mei 2009

Menteri Besar Perak ditentu Isnin

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Persoalan mengenai siapa antara Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah akan ditentukan Mahkamah Tinggi Isnin ini.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim akan mengumumkan pada 2.30 petang keputusan mengenai permohonan Mohammad Nizar pada 13 Februari lalu agar mahkamah mengisytiharkan beliaulah Menteri Besar sah dan Dr Zambry tidak berhak memegang jawatan itu.

Mohammad Nizar, 52, dilantik 17 Mac tahun lalu setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum pada 8 Mac, tetapi setelah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Perak daripada pakatan itu keluar parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional awal tahun ini,

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melantik Dr Zambry sebagai Menteri Besar setelah mendapati Mohammad Nizar telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan kerana Barisan Nasional pula menguasai 31 kerusi.

Dalam afidavitnya, Mohammad Nizar berkata, beliau masih Menteri Besar kerana antara lainnya, tidak ada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dewan Undangan Negeri dan beliau tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding semalam, peguam utama beliau, Sulaiman Abdullah, memberitahu mahkamah krisis politik di Perak boleh diselesai dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Tiada ulasan: