Isnin, 11 Mei 2009

Meningitis: 11 lagi kes baru hari ini

MALAYSIA KINI


Jumlah pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Melaka kerana disyaki dijangkiti meningitis meningkat kepada 29 orang manakala dua pelatih masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini berkata terdapat 11 kes baru dilaporkan pagi ini selepas mereka mengadu mengalami simptom penyakit itu.

Bagaimanapun, katanya keadaan mereka yang dimasukkan ke hospital adalah stabil dan akan diletakkan di bawah pemantauan rapi di hospital itu selama seminggu, lapor Bernama.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sijil MS ISO 9001:2000 kepada Hospital Tung Shin di Kuala Lumpur, Liow berkata Jabatan Kesihatan memerlukan sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk menentukan jenis bakteria yang bertanggungjawab menyebabkan wabak itu.

Katanya pengeraman bakteria itu sejak jam 2 pagi Sabtu lepas di Pusat Mikrobiologi Sungai Buloh masih belum memberikan sebarang keputusan.

"Biasanya proses itu mengambil masa kira-kira 16 jam. Tetapi tampaknya kami mungkin perlukan lebih banyak masa untuk pengeraman sampel yang diambil dari tiga lokaliti yang disyaki menjadi punca wabak itu," katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak meningitis di Akademi JPJ di Tiang Dua, Melaka disebabkan oleh bakteria "diplococci".

Liow berkata wabak itu berjaya dikawal selepas dikesan pada 7 Mei walaupun kira-kira 449 pelatih dan kakitangan akademi itu masih dikuarantin.

Setakat ini, seorang pelatih, Mohd Hafiz Zainudin, 24, dari Kota Baharu meninggal dunia akibat jangkitan itu.

Tiada ulasan: