Jumaat, 15 Mei 2009

MCA, Gerakan Mahu Pilihanraya Baru Di Perak

Oleh: Jonson Chong


Saya merujuk kepada sebuah artikel bertajuk “MCA, Gerakan Mahu Pilihanraya Baru” yang disiarkan dalam Malaysiakini 13 Mei lalu.

Apabila sebahagian pemimpin dari Barisan Nasional (BN) sendiri yang membuat kenyataan yang berhemah bagi menuntut perubahan maka ianya sangat di alu-alukan.

Malahan, apa yang mereka timbulkan sebenarnya mencerminkan hasrat rakyat supaya pilihanraya baru di adakan di Perak.

Mungkin para pemimpin BN merasa letih dengan pergolakan politik yang tidak nampak titik kesudahannya dan mungkin boleh menimbulkan keadaan kucar kacir.

Barangkali mereka mula sedar bahawa sesuatu perlu dilakukan segera sebelum keadaan menjadi bertambah buruk hingga menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa.

Menurut artikel tersebut, kedua-dua pemimpin iaitu Timbalan Presiden MCA dan Setiausaha Agung Gerakan bercakap berdasarkan pendapat peribadi. Tetapi apa pula pendirian parti yang mereka wakili?

Kita agak curiga sama ada pemimpin-pemimpin komponen parti BN mempunyai keberanian dan nilai moral untuk membuat kenyataan rasmi parti di depan umum yang dilihat bercanggah dengan pendirian Perdana Menteri atau Umno.

Saya teringat pada suatu ketika dahulu, Presiden MCA merupakan seorang yang lantang bersuara sebelum beliau menjadi presiden dan menteri penuh kabinet.

Barangkali beliau terpaksa menanggung banyak risiko untuk bersuara di depan orang ramai. Begitu juga dengan Presiden Gerakan. Adakah beliau sanggup mengeluarkan kenyataan rasmi di khalayak ramai?

Jadi, persoalan timbul sama ada parti-parti komponen BN merupakan rakan yang sama taraf kedudukannya dalam kerajaan atau mereka dianggap rakan yang lebih junior dan perlu mengikut arahan rakan yang lebih senior.

Untuk kesejahteraan rakyat negeri Perak dan Malaysia pada umumnya, saya berharap pemimpin semua parti komponen BN menyuarakan pendirian mereka dengan mendokong kebenaran demi untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Mereka harus membentangkan usul supaya di adakan pilihanraya yang baru di Perak bagi mengatasi kebuntuan dalam sistem perundangan pada mesyuarat BN yang akan datang.

* Penulis ialah Pengarah Komunikasi, KeADILan

Tiada ulasan: