Isnin, 18 Mei 2009

Mayat bayi ditemui dalam tong sampah

KOSMO ONLINE


KUALA LUMPUR - Mayat seorang bayi masih bertali pusat ditemui di dalam tong sampah di belakang sebuah kedai makan di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini malam kelmarin.

Keadaan mayat bayi yang sudah cukup sifat dan mempunyai uri itu ditemui seorang pekerja kedai makan di situ ketika hendak membuang sampah pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, mayat bayi yang dibungkus dengan surat khabar itu ditemui dalam keadaan tertonggeng di dalam tong sampah itu dengan kepalanya ke bawah.

"Pada badan mayat bayi itu juga mempunyai kesan darah dipercayai baru dilahirkan sebelum dia dibuang ke dalam tong sampah tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas badan mayat bayi itu tidak menemui kesan luka.

Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mayat bayi itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-20702222.

Tiada ulasan: