Selasa, 5 Mei 2009

Mat rempit berleluasa

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS


KUALA LUMPUR – Memeranjatkan! Operasi besar-besaran menangani aktiviti lumba haram di seluruh negara selama dua hari sejak kelmarin, bukan setakat berjaya memberkas pesalah trafik malah mendapati 235 daripadanya adalah remaja bawah umur.

Pada saat rakan sebaya mereka sibuk menelaah pelajaran di rumah, golongan remaja itu pula membahayakan diri merempit bersama-sama penunggang dewasa lain.

Dalam operasi yang diadakan serentak di ibu negara, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Selangor itu, tiga remaja berusia bawah 15 tahun ditahan kerana terlibat dalam aktiviti ‘merempit’ itu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof memberitahu, pihaknya memandang serius penglibatan golongan belia terutama remaja bawah umur dengan aktiviti lumba haram.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran operasi serupa akan diteruskan dari semasa ke semasa dan dipertingkatkan dengan penglibatan agensi penguat kuasa lain, khususnya di Lembah Klang.

“Semua remaja bawah umur yang ditahan telah disaman atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan manakala tiga yang terlibat dalam lumba haram disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, ketika kejadian, tiga remaja terbabit melakukan aktiviti lumba haram bersama 15 penunggang motosikal dewasa yang turut ditahan.

Pihak polis yang memantau pergerakan kumpulan terbabit, katanya, telah merakamkan aksi-aksi lumba haram sebelum tangkapan dibuat.

Malam kelmarin, lebih 500 mat rempit diperiksa manakala 115 motosikal telah disita di Dataran Merdeka, di sini malam kelmarin.

Abdul Aziz berkata, dalam tempoh dua hari tersebut, sebanyak 3,011 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya telah dikeluarkan dan daripada jumlah itu sebanyak 45 peratus kesalahan kerana tidak memiliki lesen dan cukai jalan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar meminta kerjasama ibu bapa memantau pergerakan anak mereka agar tidak terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral tersebut.

“Ini kerana kebanyakan ibu bapa kepada anak yang terlibat ketika hadir untuk membayar saman mendakwa tidak mengetahui kegiatan anak masing-masing.

“Ibu bapa perlu bertanggungjawab dan memiliki akauntabiliti dalam mendidik anak-anak supaya mereka tidak menyesal di kemudian hari apabila kejadian tidak diingini berlaku.

“Penglibatan remaja dalam kumpulan mat rempit dipengaruhi oleh rakan-rakan serta tanpa pemantauan ibu bapa,” katanya.

Tiada ulasan: