Rabu, 27 Mei 2009

Mas Selamat ditahan bawah ISA selama dua tahun

BERNAMA


JOHOR BAHARU: Ketua Wakalah Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari yang ditangkap polis Malaysia awal bulan lepas telah dikenakan perintah tahanan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bernama difahamkan, turut dikenakan perintah tahanan selama dua tahun di bawah ISA ialah Abdul Matin, seorang anggota biasa JI yang ditangkap oleh polis juga pada awal April lepas.

"Mas Selamat Kastari akan ditahan selama dua tahun di bawah ISA di Pusat Tahanan di Kamunting, Taiping," menurut sumber yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang penangkapan pemimpin JI Singapura itu kepada Bernama hari ini.

Katanya, keputusan menahan Mas Selamat selama dua tahun di bawah ISA di negara ini turut mengesahkan bahawa ketua JI Singapura itu tidak akan diekstradisi ke republik tersebut di dalam jangka masa terdekat ini.

Soal sama ada ketua JI republik tersebut akan dihantar pulang ke Singapura katanya, akan hanya dibincangkan selepas tamat tempoh dua tahun itu.

Menurut sumber itu lagi, seorang lagi yang ditangkap polis awal bulan lepas iaitu Johar Hassan, yang menyewakan rumahnya di Kampung Tawakal, Skudai kepada pemimpin JI itu pula telah dikenakan perintah sekatan kediaman.

Syarat-syarat sekatan kediaman yang dikenakan terhadap Johar itu, katanya, dipercayai termasuk tidak boleh keluar rumah pada waktu malam dan tidak boleh keluar daerah tanpa memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Beliau juga dipercayai perlu menghadirkan diri ke balai polis berhampiran setiap minggu atau setiap bulan, kata sumber itu lagi. Abdul Matin yang berasal daripada Ulu Tiram di sini dan Johar, keduaduanya warga tempatan dipercayai ditangkap pada hari yang sama Mas Selamat ditangkap oleh polis negara ini dalam satu operasi khas di Skudai awal bulan lepas.

Laporan Bernama sebelum ini mengatakan, sejurus selepas ketua JI republik terbabit berjaya memasuki negara ini selepas berenang merentasi Selat Tebrau daripada Woodlands, Singapura, beliau telah pergi menemui Abdul Matin dan Johar.

Mas Selamat menjadi orang buruan paling utama Singapura, selepas beliau berjaya meloloskan diri dari penjara kawalan maksimum di Pusat Tahanan Whitley Road pada Februari tahun lepas.

Republik itu yang terkenal dengan kawalan keselamatan yang ketat telah mengerahkan ribuan anggota pasukan polis dan tenteranya memburu Mas Selamat serta mengetatkan pengawasan di kesemua pintu masuknya. Sementara itu sumber Bernama itu turut mengatakan, Mas Selamat akan menjalani proses pemulihan sepanjang tempoh warga Singapura itu berada di Pusat Tahanan Kamunting, yang menempatkan tahanantahanan ISA.

"Menerusi proses pemulihan yang dijalaninya di Kamunting itu, kita berharap akan dapat meneutralisasikan beliau," katanya.

Beliau berkata, di antara proses pemulihan yang akan dijalani oleh ketua JI Singapura itu termasuklah sesi pendebatan agama antara Mas Selamat dengan kumpulan pakar agama pihak berkuasa.

Tiada ulasan: