Selasa, 5 Mei 2009

Manoharan diberi masa buat keputusan - MB Selangor

BERNAMA


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memberi masa kepada Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Alam Shah, M. Manoharan yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), untuk membuat keputusan sama ada melepaskan jawatan atau kekal sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Parti Keadilan Rakyat serta PAS tidak akan masuk campur dalam keputusan Manoharan yang merupakan wakil daripada DAP.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Badan Bertindak Tanah Orang Asli Selangor (BBTOAs) di sini hari ini, beliau berkata pakatan pembangkang di Selangor bersedia menghadapi pilihan raya kecil jika Manoharan membuat keputusan untuk mengosongkan kerusi itu.

Mengenai BBTOAS yang dilancarkan hari ini, Abdul Khalid berkata badan itu terdiri daripada 13 orang Asli mewakili puak dan daerah yang berlainan di Selangor bagi menjaga kepentingan Orang Asli terutamanya daripada segi penempatan dan pemberian tanah kepada mereka selain merancang pembangunan yang sesuai di tanah milik mereka.

Kini terdapat seramai 15,000 Orang Asli di Selangor dan majoriti daripada mereka menetap di daerah Kuala Langat dan Sepang.

Tiada ulasan: