Sabtu, 9 Mei 2009

Mano, Uthaya dan Vasantha harus diberi pampasan.

Kerajaan menafikan hak asasi kemanusian terhadap mereka selama 1 tahun 6 bulan : Sivarasa

Anna Yusof


KUALA LUMPUR : Kerajaan seharusnya memberi ganjaran dalam bentuk pampasan kerana menahan M Manoharan, P Uthayakumar dan K Vasantha Kumar tanpa dibicarakan dan melanggar hak asasi kemanusian serta kepercayaan dalam agama.

“Jika mereka bersalah seharusnya mereka dibicarakan. Kerajaan telah melanggar dan menafikan hak asasi kemanusiaan terhadap mereka serta melanggar kepercayaan dalam agama,” kata naib Presiden KeADILan Sivarasa kepada Suara Keadilan.

“Walau bagaimanapun Pakatan Rakyat amat mengalu-alukan pembebasan ketiga-tiga mereka dibawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) selama setahun dan enam bulan tanpa sebarang perbicaraan,” jelas Sivarasa.

Menurut peguam mereka, M Surendran berkata berikutan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu juga telah menandatangani dokumen pembebasan itu hari ini.

“Mereka akan dibebaskan dalam masa dua atau tiga hari,” kata Hishamuddin kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Selain ketiga-tiga mereka, sepuluh lagi yang dibebaskan termasuk tiga warga Malaysia, dua warga Indonesia dan lima warga Filipina.

Tiga warganegara itu adalah Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil and Adzmi Pindatun, manakala dua warga Indonesia adalah Zainun Rasyhid dan Aboud Ghafar Shahril.

Lima warga Filipina adalah Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih.

Bulan lalu, dua pemimpin Hindraf iaitu V. Ganabatirau dan R.Kenghadharan adalah antara 13 tahanan ISA yang dibebaskan.

Tahanan lain yang turut dibebaskan bulan lalu adalah tujuh anggota Darul Islam, tiga rakyat asing kerana memalsukan dokumen dan seorang anggota Jemaah Islamiah.

Awal bulan ini, Manoharan dikatakan mempertimbangkan untuk meletak jawatan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerana dikatakan tidak mampu melaksanakan tugas itu.

Sementara itu, semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak rayuan Uthayakumar agar pertuduhan mengikut Akta Hasutan ke atasnya digugurkan.

Tiada ulasan: