Jumaat, 29 Mei 2009

Mangsa dengar bunyi gerudi sebelum bangunan runtuh

BERNAMA


PETALING JAYA: Salah seorang pekerja binaan warga Indonesia yang terselamat dalam kejadian bangunan runtuh di Seksyen 14/20 di sini petang tadi berkata dia mendengar bunyi seperti gerudi dari tingkat paling atas sebelum kejadian itu berlaku.

"Tiba-tiba sahaja bangunan itu runtuh dan kaki saya ditimpa runtuhan konkrit dan tidak dapat digerakkan, namun saya cuba juga untuk menggerakkan diri sedikit demi sedikit," kata Sale, 48, kepada pemberita semasa ditemui di Wad Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini malam tadi.

Sale, dari Jawa Timur, yang baru bekerja di projek tersebut sejak tiga hari lepas, masih dalam keadaan trauma dan terpingapinga selepas terperangkap di bawah runtuhan konkrit selama lebih kurang satu jam sebelum diselamatkan anggota bomba.

Isterinya Mina Nor Dewi, 27, yang berada di sisinya terpaksa menjadi pengantara antara wartawan dan Sale kerana keadaannya yang masih trauma itu.

Bapa kepada empat anak yang masih kecil itu berkata semasa terperangkap dalam runtuhan yang berlaku kirakira 5 petang tadi, dia sedang bekerja di tingkat bawah bangunan empat tingkat itu.

Sale berkata dalam usahanya mengesut untuk keluar tibatiba telefon bimbitnya berbunyi dengan tibatiba, dan dia yang menjawabnya pada deringan kali kedua mendapati isterinya menelefon sebaik sahaja mendapat tahu bangunan tempat dia bekerja itu runtuh.

Dia terus memaklumkan kepada isterinya bahawa dia terperangkap dalam runtuhan bangunan itu, yang pernah menempatkan pasar raya Jaya Supermarket, dan sebaik memberitahu isterinya mengenai kejadian dirinya, pasukan keselamatan telah datang untuk menyelamatkannya.

Katanya masih ramai yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan itu termasuk tiga orang pekerja yang bersamasamanya semasa kejadian itu berlaku, tetapi dia tidak mengenali mereka kerana masih belum sempat berkenalan.

Sale patah kaki kanannya dan retak lengan kanannya selain calar dan lebam di bawah bibir.

Tiada ulasan: