Khamis, 7 Mei 2009

Mahkamah tolak rayuan Uthayakumar

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak rayuan penasihat undang-undang Hindraf, P. Uthayakumar, agar pertuduhan mengikut Akta Hasutan digugurkan.

Bernama melaporkan, Hakim Sabariah Othman membuat keputusan untuk mengekalkan pertuduhan itu setelah berpuas hati dengan segala afidavit dan hujahan yang dikemukakan.

Katanya, pihak pembelaan gagal menunjukkan bahawa surat izin yang dikeluarkan oleh Peguam Negara dibuat berdasarkan prasangka atau prejudis.

Sebaliknya pihak pendakwaan telah mengemukan afidavit balasan mengikut undang-undang yang betul dan tidak wujud maksud sebaliknya.

Hakim Sabariah kemudian menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 3 Ogos ini.

Pada 11 Dis 2007, Uthayakumar, 46, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerbitkan satu surat berunsur hasutan di laman web, Police Watch Malaysia.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran manakala Uthayakumar diwakili N Surendren. - mks._

Tiada ulasan: