Isnin, 11 Mei 2009

Mahkamah putuskan MB Perak sah hari ini

Oleh Norhashimah Mohd Radzali


KUALA LUMPUR: Persoalan siapakah Menteri Besar Perak yang sah antara Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Keputusan itu akan dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abd Rahim pada jam 2.30 petang ini, berikutan semakan kehakiman dikemukakan Mohammad Nizar bagi mendapat perisytiharan mahkamah beliau masih Menteri Besar Perak sah.

Ia adalah keputusan amat dinanti-nantikan seluruh rakyat negara ini bagi mengakhiri kemelut politik negeri Perak yang berlarutan sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, keputusan itu masih belum muktamad kerana pihak yang kalah boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan di Mahkamah Rayuan.

Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman itu pada 13 Februari lalu, memohon perintah injunksi bagi menghalang Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari lalu, atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Mohammad Nizar juga memohon perintah supaya Zambry memberikan tunjuk sebab bagaimana dan mengikut dasar atau kuasa apa beliau berhak memegang jawatan itu.

Beliau turut memohon perisytiharan mahkamah, Zambry bukanlah Menteri Besar Perak dan tidak berhak menjawat jawatan itu.

Selain itu, Mohammad Nizar juga memohon mendapatkan takrif mengenai Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) sama ada jawatan Menteri Besar boleh dikosongkan jika:

l Menteri Besar sudah memberi nasihat kepada Sultan supaya membubarkan DUN.

l Tidak berlaku pembubaran DUN.

l Tidak ada undi tidak percaya terhadapnya di persidangan DUN, dan

l Tidak berlaku peletakan jawatan oleh beliau.

Pada 6 Februari lalu, Zambry mengambil alih pucuk pimpinan negeri Perak selepas Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 Adun berbanding 28 Adun bagi PR.

Sokongan kepada BN bertambah selepas Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) keluar parti masing-masing untuk menjadi Adun Bebas serta menyokong BN.

Sepanjang prosiding empat hari bermula 4 Mei lalu, Mohammad Nizar memberitahu mahkamah beliau tidak memohon Sultan Perak membubarkan DUN atas alasan beliau sudah kehilangan kepercayaan majoriti Adun.

Beliau menafikan kehilangan kepercayaan majoriti sebagai Menteri Besar oleh Adun ketika pertemuannya dengan Sultan Azlan Shah bagi berbincang berhubung krisis politik Perak pada jam 5 petang, 4 Februari lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang bertindak sebagai pencelah dalam semakan kehakiman itu, berhujah Sultan tidak memecat Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar, sebaliknya beliau tersingkir daripada jawatan itu mengikut Perkara 16(6) UTKP apabila beliau kehilangan kepercayaan majoriti Adun Perak.

Sehubungan itu, beliau berhujah Sultan mematuhi Perlembagaan Perak dan sudah menimbang dengan teliti semua fakta serta perkembangan sebelum membuat perisytiharan BN mempunyai majoriti dalam DUN Perak pada 5 Februari lalu.

Peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah pula berhujah pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak tidak dibuat mengikut perlembagaan.

Tiada ulasan: