Selasa, 19 Mei 2009

Loceng Kematian Umno-BN Menanti Di Penanti

(TV Antara)


Ketakutan Najib Razak sudah memuncak. Hari ini setelah penantian yang lama beliau membuat keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil N12 Penanti. Keputusan itu bukannya sesuatu yang mengejutkan dan tidak disangka.

Sedari awal Najib sudah membayangkan kemungkinan BN tidak menyertai PRK kali ini atas alasan tidak mahu membazirkan wang ringgit rakyat. Rakyat kebanyakan gelak ketawa apabila seorang Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang sedemikian rupa apatah lagi reaksi golongan rakyat yang berpendidikan apabila mendengar alasan sebegitu rupa.

Rakyat daripada semua lapisan umum tahu dan mengerti perkataan jimat adalah amat asing bagi Umno dan Barisan Nasional. BN mewakili projek mega, kronisma, nepotisma, pembaziran, penyelewengan, kerakusan, ketamakan dan segala sifat yang melampau. Jimat tidak ada dalam kamus Umno dan BN jadi apabila Najib kata hendak berjimat ia adalah satu pembohongan yang nyata.

Yang jelas Najib tidak sanggup lagi berhadapan dengan kekalahan demi kekalahan yang terpaksa diterima BN sejak tsunami politik pada Pilihan Raya Umum ke 12 tahun 2008. Kekalahan di Penanti bakal menunggu BN sekiranya ia bertanding tetapi hakikatnya BN sudah hilang selera untuk menerima kekalahan lagi.

Walaupun Penanti adalah dalam kawasan kubu kuat Pakatan Rakyat tidak pernah dalam sejarah pilihan raya negara ini parti besar seperti BN menolak untuk masuk gelanggang bertarung denganb lawan. Tapi di Penanti BN angkat bendera putih sejak awalan lagi. Memutuskan untuk tidak bertanding samalah seperti mengaku kalah.

Najib telah menghampakan ramai pihak dalam Umno dan BN. Pertama sudah tentu mentor politik beliau yang mahu BN bertanding di Penanti. Juga yang "frust" termasuk Umno Bahagian Permatang Pauh yang mahukan kerusi tersebut untuk calonnya. Najib sanggup melukakan perasaan pendokong partinya demi menyelamatkan politik beliau.

Selain takut kalah faktor utama yang mencorakkan keputusan BN menarik diri dari Penanti ialah krisis politik Perak yang terus menerus menghantui Najib. Rampasan kuasa yang dirancang oleh Najib boleh diandaikan sebagai satu raksasa yang sudah terputus talinya dan kini berada diluar kawalan tuannya.

Najib sudah kehabisan ide untuk mencari jalan menghalalkan kerajaan haram yang dibentuknya di bawah budak suruhan beliau, Zambry Abd Kadir. Najib masih tercari-cari dalam kegelapan satu bentuk penyelesaian yang menguntungkan Umno dan BN tanpa mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri Perak.

Berapa lama lagikah Najib boleh bertahan dan menolak desakan rakyat supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan? Isu Perak telah memeningkan kepala Najib dan BN sehingga mendesak mereka untuk mengabaikan PRK Penanti.

Sekiranya tidak ada calon bebas yang mahu bertanding menentang calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman sudah tentu PRK Penanti akan menjadi "walkover" bagi Pakatan Rakyat dan tidak payah Suruhanjaya Pilihan Raya mengguna dana awam untuk menguruskan PRK ini.

Tetapi inilah realiti sebuah sistem pemerintahan yang berteraskan demokrasi, suara rakyat berkuasa menentukan siapa pemimpin yang mereka mahu. Umno dan BN cuba mematikan api demokrasi yang hidup dalam sanubari rakyat dengan memperlecehkan pilihan raya bila mana peluang kemenangan tidak memihak kepada mereka.

Pilihan raya hanya penting kepada Bn sekiranya ia boleh dimanipulasi semaksima mungkin dengan menggunakan SPR. SPR sebagai budak suruhan Umno dan BN akan bertindak bagai lembu yang dicucuk hidungnya, mengikut apa saja yang diingini oleh tuannya.

Lihat saja di Penanti; belum apa-apa SPR sudah mengeluarkan arahan-arahan pelik yang ia sendiri tahu melanggar undang-undang pilihan raya sedia ada. Larangan mendirikan pondok panas dan menghadkan jumlah penyokong yang mengiringi calon pada hari penamaan calon dikhaskan kepada PRK Penanti.

Di Bukit Selambau dan Bukit Gantang pula Kementerian Dalam Negeridiperkudakan Umno dan BN dengan melarang menimbulkan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan mempersoalkan keputusan dibuat institusi Raja. Apa pun kekangan yang cuba diimplementasi oleh BN rakyat akan tetap menang.

Kuasa rakyat tidak boleh diperkecilkan lagi. Apa yang BN mampu buat hanya melambatkan sedikit saat kematiannya ditangan rakyat dengan menyalahgunakan semua institusi demokrasi.Meskipun demikian putaran jam takdir Umno dan BN semakin laju mengejarnya dan loceng kematiannya akan berbunyi sedikit masa lagi.

Tiada ulasan: