Rabu, 13 Mei 2009

Lima ADUN BN Selangor dipanggil bela diri

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM – Lima Ahli Dewan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo dipanggil membela diri atas tuduhan melakukan tindakan menghina hingga melanggar hak kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pendengaran secara tertutup itu dilakukan di depan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Negeri Selangor yang dipengerusikan Speaker DUN, Teng Chang Khim.

Empat lagi ADUN itu ialah Datuk Marsum Paing (Dengkil), Datuk Warno Dogol (Sabak), Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam) dan Mohd. Isa Abu Kassim (Batang Kali).

Chang Khim berkata, Mohd. Khir yang juga ADUN Sungai Panjang dipanggil kerana gagal hadir pada pendengaran awam yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), baru-baru ini.

Selcat ditubuhkan dengan bidang kuasa DUN bagi membolehkan pendengaran awam dilakukan berhubung penggunaan wang penajaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) pada pertengahan Mac lalu.

‘‘Beliau juga dituduh membuat kenyataan yang menyentuh integriti DUN berkaitan Selcat.

‘‘Empat ADUN lagi membuat kenyataan menyerang Selcat dengan itu menyentuh hak dan kebebasan DUN,’’ katanya pada sidang akhbar selepas sesi pendengaran yang bermula pukul 10 pagi itu berakhir kira-kira dua jam kemudian di Bangunan Annex di sini hari ini.

Beliau menambah, kelima-lima ADUN itu diwakili oleh tujuh orang peguam.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan bertemu sekali lagi Selasa depan untuk berbincang dan merumuskan hasil maklumat yang diperoleh daripada pendengaran itu selain dijadikan satu laporan berserta mengemukakan beberapa cadangan berhubung kes tersebut.

Katanya lagi, mengikut amalan, laporan itu bakal dibentangkan semasa sidang DUN akan datang untuk disahkan sebelum sebarang bentuk hukuman diputuskan.

‘‘Jika tidak bersalah mereka dibebaskan, kalau bersalah boleh diperintah mohon maaf, teguran secara terbuka, diberi amaran atau digantung kerja atau digantung gaji.

‘‘Tetapi tiada hukuman penjara kerana DUN tidak ada kuasa untuk melaksanakan hukuman itu,’’ jelasnya.

Chang Khim memberitahu, beliau juga seperti kelima-lima ADUN itu tidak dibenarkan memberi sebarang kenyataan berkaitan maklumat atau butiran mengenai pendengaran tersebut.

Tiada ulasan: