Selasa, 12 Mei 2009

Krisis Perak: Umno akan cari penyelesaian terbaik

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno akan memikirkan jalan penyelesaian terbaik berhubung keputusan mahkamah semalam yang memutuskan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin daripada Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Najib berkata, keputusan mahkamah itu bukanlah sesuatu yang melemahkan semangat Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Kita akan hadapi cabaran dan dugaan apatah lagi dengan keputusan mahkamah pada hari ini.

"Sepatutnya hari ini, kita sambut dengan cukup meriah tapi kita sambut dengan sebaliknya selepas mengetahui keputusan mahkamah pada hari ini," kata beliau dalam ucapannya sempena sambutan ulang tahun Umno ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam tadi.

Jelasnya, jika dilihat kembali sejarah, parti itu pernah menerima keputusan mahkamah yang mengharamkan Umno dan mereka telah bangkit dengan membina Umno yang baru.

"Saya percaya semangat yang sama kita perlu ada. Kita menang dua kes mahkamah sebelum ini kita kalah satu.

"Kalau dari segi moralnya kita menang dua kalah satu. Ini bukan penghujung jalan.

"Insya-Allah saya dan rakan-rakan saya dalam MT Umno akan memikirkan jalan penyelesaian terbaik yg boleh diambil untuk Umno dan BN dalam menghadapi keputusan mahkamah yg diumumkan hari ini.

"Mudah-mudahan akan beri petunjuk kepada kita untuk membuat keputusan yang terbaik demi masa depan perjuangan kita," katanya.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; ketiga-tiga Naib Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; ahli-ahli MT Umno; bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Mohammad Nizar diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dengan keputusan itu, persoalan mengenai siapakah Menteri Besar yang sah antara Mohammad Nizar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir daripada BN, yang menyebabkan negeri itu dilanda krisis politik sejak Februari lalu akhirnya terjawab.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri dan tidak pernah meletak jawatan.

Selain itu, Najib berkata, Umno perlu mendengar denyut nadi rakyat jika parti itu ingin terus berkuasa.

"Kalau kita ingin jadi parti yang kekal relevan, Umno tidak ada pilihan dan mesti berani buat perubahan untuk berada di saf hadapan," katanya.

Najib berkata, beliau telah memulakan perubahan tersebut dengan memperkenalkan konsep 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan'.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Najib berkata, rakyat tidak mahu perkara bersifat retorik sebaliknya mereka mahu kepada perubahan.

'Satu Malaysia' berpaksi kepada Perlembagaan dan Rukun Negara dan kejayaan Umno mesti berpaksi kepada kejayaan orang-orang Melayu.

"Insya-Allah, dengan semangat yang lebih intuisif, Umno mampu untuk menghadapi pelbagai rintangan," katanya.

Katanya lagi, dalam sistem demokrasi berparlimen, suara rakyat adalah suara keramat yang mesti didahulukan.

"Kita mesti menjadi anggota parti yang sanggup berkhidmat bukan sahaja kepada Perlembagaan parti malah berpaksikan semangat dan budaya tawaduk menyusuri susah payah rakyat perlu dipupuk di kalangan ahli-ahli parti," katanya.

Tiada ulasan: