Isnin, 18 Mei 2009

Kos haji: Tunggu keputusan Arab Saudi

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan masih menunggu keputusan daripada Arab Saudi sama ada berlaku atau tidak kenaikan kos perbelanjaan haji mulai tahun ini memandangkan negara tersebut sedang menyediakan peraturan baru di samping menambahkan prasarana di negara tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan kos perbelanjaan meningkat disebabkan kos meningkat akibat penambahbaikan prasarana tersebut.

“Bangunan baru di Mekah sedang dibangunkan. Hotel-hotel lama yang tak berapa sesuai diganti pembinaan baru. Begitu juga dengan di Madinah. Sistem perhubungan diperbaharui termasuk kapal terbang dan kereta api laju.

“Mereka juga membesarkan bilik dengan tidak benarkan lagi berkongsi satu bilik 10 orang. Apabila peraturan baru dipertingkatkan, tentulah mengambil kira keperluan semasa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa kali ketiga Pelancongan Haji dan Umrah Antarabangsa di sini, semalam.

Dalam ucapan perasmiannya, Jamil Khir berkata, Malaysia berpotensi membangunkan produk pelancongan Islam dengan kewujudan masjid-masjid dan tempat sejarah Islam bagi menarik kunjungan pelancong terutama bukan Muslim.

“Setiap masjid harus menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong, ruang pameran dan galeri serta maklumat mengenai sejarah penubuhannya.

“Selain itu seni bina yang menarik, persekitaran yang bersih dan ceria, kemudahan tandas yang selesa dan penyediaan risalah mengenai Islam dan fungsi-fungsi masjid turut mendorong minat pelancong agar kembali ke negara ini sebagai salah satu destinasi percutian pelancongan Muslim,” katanya.

Beliau turut berharap agar ibu kota Kuala Lumpur bukan sahaja terkenal sebagai destinasi pelancongan malah terkenal sebagai pusat keilmuan sekurang-kurangnya di rantau ini.

“Pelancong datang bukan sahaja membawa balik barangan elektronik buatan Malaysia, tetapi diharap beg-beg mereka penuh buku-buku tulisan ilmuwan kita.

“Inilah yang harus dilaksanakan bagi menjadikan Malaysia sebagai hub pelancongan Muslim,” katanya.

Tiada ulasan: