Isnin, 11 Mei 2009

Koh cadang Tan jadi Naib Presiden Gerakan

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang menyertai Gerakan secara rasmi semalam, akan dicadangkan dilantik sebagai Naib Presiden parti itu bagi mewakili masyarakat Cina di Sabah.

Mengumumkannya di sini, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata beliau akan mencadangkan pelantikan Tan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan tidak lama lagi manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura, Au Kam Wah yang menuruti langkah Tan, akan dicadangkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu.

Koh berkata, Tan dan Au dibenarkan menubuhkan cawangan parti berkenaan dalam Gerakan bahagian Sandakan dan dijangka menarik keahlian yang agak ramai berdasarkan kedudukan mereka, masing-masing sebagai Adun Tanjung Papat dan Elopura.

Tan adalah bekas Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) manakala Au adalah bekas Ketua Pemuda parti itu yang bertindak keluar daripada SAPP. Tindakan itu diambil selepas Presiden parti itu, Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan SAPP keluar daripada Barisan Nasional (BN), pertengahan tahun lalu.

Turut menyertai Tan dan Au mengemukakan borang menjadi ahli Gerakan semalam ialah dua bekas Naib Presiden SAPP, masing-masing Jimmy Wong dan Nobert Chin.

Koh berkata, dengan kemasukan Tan dan Au ke dalam Gerakan, menjadikan kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili mereka, menjadi milik Gerakan sekarang.

"Mereka akan meneruskan khidmat sebagai Adun di kawasan masing-masing," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Gerakan, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Perhubungan Gerakan Sabah, Gordon Leong Vui Cheung yang menerima borang keahlian Tan, Au, Wong dan Chin.

Sebelum ini, Gerakan tidak mempunyai sebarang kerusi dalam DUN dan Parlimen di Sabah.

Ditanya sama ada Gerakan ingin Tan dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Menteri, Koh berkata, ia adalah hak Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan parti itu akan menyokong keputusan yang bakal diambil Musa.

Minggu lalu, Musa dilaporkan berkata, kedudukan Tan dalam Kabinet Sabah akan ditentukan minggu ini.

Koh berkata, beliau sudah berjumpa Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dan Musa minggu lalu bagi membincangkan hasrat Tan dan Au menyertai Gerakan tetapi enggan mengulas ketika ditanya sama ada kedudukan Timbalan Ketua Menteri itu dalam Kabinet Sabah turut dibincangkan.

Bagaimanapun, Koh menegaskan, kemasukan Tan bukan kerana jawatan dalam Kabinet Negeri, sebaliknya kerana menghayati perjuangan Gerakan yang bukan setakat mewakili masyarakat Cina, malah masyarakat pelbagai kaum.

Sehubungan itu, beliau meminta sesetengah pihak yang menuduh Tan menyertai Gerakan semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya dalam Kabinet negeri supaya berhenti daripada berbuat demikian.

Tiada ulasan: