Rabu, 27 Mei 2009

Ketua Bahagian Umno dituduh salah guna kuasa

Oleh Nurul Farina Nazlan


KUALA LUMPUR: Ketua Umno bahagian Pandan, Abd Ghani Ismail, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas 10 tuduhan menyalahguna kuasanya sebagai Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan menerima rasuah berjumlah lebih RM200,000 bagi meluluskan tender, antara 2006 dan 2007.

Tertuduh, Abd Ghani, 42, mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Bagi tuduhan pertama hingga kesembilan, dia sebagai Ahli Majlis dituduh menerima rasuah berjumlah RM210,012 daripada Abdul Rahman Yaacob sebagai balasan bagi mendapatkan tender Zon 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta tender Zon PB 16 membabitkan kerja pembersihan kawasan di Pandan Jaya daripada MPAJ.

Abd Ghani dituduh menerima wang itu dua tempat berasingan iaitu di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B dan di depan Blok E, Jalan 4/76B, kawasan Desa Pandan di sini, antara 4 Ogos 2006 dan 31 Mac 2007.

Bagi tuduhan ke-10, Abd Ghani dituduh secara rasuah memperoleh bagi dirinya satu suapan iaitu memberi arahan kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd (Dwisakti) supaya melantik Syarikat Lembah Rimbun sebagai subkontraktor kepada Dwisakti di Pandan Jaya, di sini, pada 1 Mei 2006.

Bagi semua tuduhan itu, Abd Ghani didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM25,000 bagi semua tuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan kes dan membenarkan tertuduh dijamin RM23,000 dengan seorang penjamin bagi semua tuduhan.

Tiada ulasan: