Ahad, 10 Mei 2009

Kesedaran terhadap bacaan al-Quran semakin meningkat

Muhammad Arif Ismail


BATU CAVES - Kesedaran masyarakat Islam terhadap bacaan atau tilawah al-Quran semakin meningkat dengan sambutan daripada pihak media.

Perkara ini ditegaskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah al-Quran peringkat Negeri Selangor, Dato' Ramli Mahmud.

Menurut beliau, satu fenomena yang sangat menarik untuk dikongsi bersama ialah bagaimana kesedaran umat Islam terhadap bacaan dan tilawah al-Quran semakin mendapat sambutan.

"Semua peringkat usia dilihat bersungguh-sungguh mempelajari al-Quran," katanya sempena Majlis Penutup dan Penyampaian Hadian Tilawah al Quran Peringkat Negeri Selangor 1430H/2009M di Masjid Jamek Amaniah, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama dalam Majlis Penutup tersebut, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang juga ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mewakili Menteri Besar; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato' Muhammed Khusrin Munawi; Ketua Hakim Syarie, Dato' Zohdi Toha dan Dato' Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Menurut beliau, kesedaran ini turut disuburkan oleh pihak media khususnya media elektronik yang mula menerbitkan rancangan-rancangan yang berkaitan dengan bacaan tarannum dan tajwid al-Quran.

"Kemunculan program Akademi al-Quran dan Mari Bertarannum di TV 9, Tilawah Interaktif dan Qiraatul Quran di TV1 serta Kalam Suci di Astro Oasis menjadi penyubur jiwa keinginan umat Islam untuk mengenal kesucian kitab al-Quran.

"Kita mengharapkan peranan media dalam memartabatkan al-Quran untuk terus meningkat ketika umat Islam begitu dahaga dengan segala petunjuk dan ilmu yang terkandung dalamnya," katanya.

Kesedaran ini katanya, sewajarnya disambut oleh tokoh-tokoh dan pakar al-Quran dengan menghamparkan segala ilmu yang ada pada mereka.

"Pembacaan al-Quran yang baik lagi sempurna adalah secara tartil yakni tepat, jelas sebutan huruf serta menepati hukum hakam tajwid," ujar beliau.

Sementara itu, pada tahun ini, tempat pertama telah dimenangi qari dari Daerah Hulu Selangor, Ahmad Mustafa Mohd Sidin. Manakala, qariah pula dimenangi oleh johan menunggu dari daerah Sepang, Norfaizah Panut.

Mereka berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000, piala iringan, sepersalinan pakaian, sijil penghargaan dan hadian mengerjakan umrah serta akan menjadi wakil calon negeri Selangor ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan pada 6 hingga 10 Julai di Ipoh, Perak Darul Ridzwan.

Hadiah tersebut telah disampaikan oleh Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mewakili DYMM Sultan yang menjalani rawatan jantung di Amerika Syarikat. - mns_

Tiada ulasan: