Rabu, 6 Mei 2009

Kes Manoharan: Kaji semula undang-undang pilihan raya atau ISA?

Mat Zain Mat Isa


MENTERI Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim, pada Ahad (3 Mei), memperkukuhkan gesaan beberapa pihak agar kerajaan mengkaji semula peraturan pilihan raya bagi menghalang diadakan sesuatu pilihan raya kecil yang diistilahkan sebagai 'tanpa sebab yang munasabah'.

Menurutnya, ada pihak cerdik pandai dalam undang-undang pilihan raya untuk menentukan dengan lebih tepat lagi bila masanya sesuatu kawasan itu harus bertanding dalam pilihan raya kecil. Misalnya disebabkan kematian wakil rakyatnya, tidak siuman atau seseorang itu sudah sakit tenat serta tidak mampu lagi menjalankan tugasnya.

Beliau dipercayai mengulas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, Pulau Pinang yang bakal diadakan penghujung bulan ini.

Letak jawatan

Kerusi Dun Penanti kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, 16 April. Terdahulu pada 21 Mac, beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkuatkuasa 8 April tetapi mengekalkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Fairus merampas kerusi berkenaan dari genggaman Barisan Nasional (BN). Calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) itu menewaskan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, dengan majoriti 2,219 undi. Fairus memperolehi 7,346 undi berbanding Abdul Jalil yang mendapat 5,127 undi.

Fairus sebelum itu dikaitkan dengan satu siasatan kes rasuah. Berita penyiasatan itu, yang segera disebarluas dan diulas secara sembarangan oleh media kroni pemerintah, disambut dengan desakan agar beliau melepaskan jawatan disandangnya. Para pemimpin BN menjuarai desakan tersebut.

Suara lantang mereka itu bagaimana pun bertukar arah apabila kerusi itu benar-benar dikosongkan Fairus. Barangkali Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Dato'eri Najib Razak mendapat ilham dan maklumat berbeza dengan anak-anak buahnya.

Meriahkan pesta demokrasi

Beliau sebaliknya membayangkan kemungkinan partinya tidak akan ikut serta memeriahkan pesta demokrasi di Penanti kelak. Beliau menyifatkan peletakan jawatan Fairus sebagai mainan politik KeADILan. Najib juga mengaitkan pilihan raya kecil ini dengan pembaziran masa, tenaga dan wang rakyat.

"Terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya yang tidak perlu sebenarnya," katanya, sepertimana dipetik kebanyakan media cetak, 18 April lalu.

Kenyataan itu disambut reaksi bercampur-campur oleh para pemimpin dan pendokong BN sendiri. Ada yang senada seirama dengan beliau, ada juga yang tidak bersetuju.

Bagi yang bersetuju, mereka menyifatkan pilihan raya semula ini menyusah dan membosankan rakyat. Dalam keadaan kini segala tumpuan sepatutnya dihalakan kepada usaha memantapkan ekonomi rakyat dan negara. Membelanjakan wang rakyat kepada suatu pilihan raya tanpa sebab yang munasabah adalah suatu pembaziran.

Bertolak dari lontaran Perdana Menteri itu, kenyataan sokongan dari Rais kelmarin bukanlah suatu yang mengejutkan. Bukankah kita sudah maklum betapa para pemimpin BN diibaratkan keretapi? Asal saja kepalanya berkata begian-begian, maka semua anak buahnya akan mencari alasan dan logik bagi menyokong dan merasionalkan apa yang pemimpin mereka kata.

Undang-undang baru digubal

Lalu pelbagai pihak tampil mengesyorkan agar satu peraturan pilihan raya sedia ada dikaji semula. Ada yang mencadangkan agar satu undang-undang baru digubal agar wakil rakyat dihalang daripada melepaskan jawatan tanpa sebab yang munasabah.

Ada pula yang mencadangkan agar pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika wakil rakyatnya saja-saja meletakkan jawatan. Ada pula cadangan agar kerusi itu diserahkan kepada calon yang memperolehi undi kedua tertingi dalam pilihan raya sebelumnya.

Alasan utama dikemukakan hampir setiap mereka ialah bagi mengelakkan pembaziran masa, tenaga dan wang rakyat. Mereka pinjam dan panjangkan hujah Najib lah tu!

Ditakdirkan Tuhan, dalam keghairahan mereka mencadangkan suatu peraturan baru digubal demi mengelakkan diadakan pilihan raya yang tidak perlu, maka tercetus pula kes Dun Kota Alam Shah, Selangor.

Media massa sejak beberapa hari lalu memetik beberapa pihak yang rapat dengan Adun DAP kawasan berkenaan, M. Manoharan, sebagai membayangkan kerusi tersebut bakal dikosongkan dalam masa terdekat. Manoharan sendiri malah dilaporkan mengakui tidak selesa berterusan memegang jawatan berkenaan, sedangkan beliau terhalang dari memberikan khidmat terbaik kepada rakyat diwakilinya.

Tidak adil buat pengundi

"Saya rasa tidak berlaku adil kepada pengundi saya dan sekarang saya perlu mempertimbangkan untuk meletak jawatan sebagai Adun Kota Alam Shah," katanya menerusi sepucuk dibacakan dibacakan isterinya, S. Pushpaneela, Ahad (3 Mei) lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Manoharan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 13 Disember 2007, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ching Su Chen, dengan majoriti 7,184 undi. Beliau mendapat 12,699 undi berbanding Su Chen yang memungut 5,515 undi.

Kemenangan itu membawa erti tersendiri buat rakyat dan partinya. Ia bagaimana pun bukan lah suatu yang menyenangkan apabila seorang wakil rakyat tidak diberi peluang menabur khidmat secara langsung kepada pengundinya. Penghalang utama peluang itu ialah ISA.

Meskipun ketiadaannya digalang ganti beberapa pihak, terutama oleh isterinya dan rakan-rakan Adun Selangor, namun ia tetap tidak sama.

Di atas rasa tanggungjawab itulah Manoharan sedia menimbang untuk mengosongkan kerusi disandangnya itu. Beliau bersedia memberi laluan kepada pemilihan seorang Adun baru.

Pelbagai pihak melihat pilihan raya kecil di Kota Alam Shah dapat dielakkan. Jika BN benar-benar mahu merealisasikan keluhan Najib dan kata sambutan pelbagai pihak dalam BN sendiri mengenai pembaziran dalam sesuatu pilihan raya kecil yang tidak perlu, maka jalan penyelesaiannya sudah ada.

Sekurang-kurangnya bagi kes Kota Alam Shah ini, peluang menyelamatkan masa, tenaga dan wang rakyat terletak di tangan BN. Ia tidak perlu mengambil masa panjang untuk mengkaji semula undang-undang pilihan raya.

Hapuskan saja ISA. Kalau sukar sangat pun, bebaskan saja Manoharan agar dia dapat melaksanakan tugasnya dan tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat._

Tiada ulasan: