Selasa, 26 Mei 2009

Kenaikan tambang ke Kabinet minggu depan

UTUSAN ONLINE


KUALA KANGSAR - Kertas cadangan kenaikan tambang pengangkutan awam akan dikemukakan ke Kabinet minggu depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

"Kertas cadangan itu telah diluluskan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan saya sendiri melihat serta menandatanganinya minggu lalu sebelum diserahkan kepada kementerian lain," katanya di sini semalam.

Beliau ditemui selepas merasmikan Kempen Bumi Hijau anjuran Biro Pertanian UMNO Padang Rengas di Sekolah Menengah Temenggong Kati.

Menurut Mohamed Nazri, kenaikan tambang itu akan melibatkan semua pengangkutan awam termasuk bas dan teksi.

"Kita mahu berlaku adil dan ingin melihat perkhidmatan pengangkutan awam lebih bertanggungjawab dan dapat berkhidmat dengan sebaik mungkin kepada pelanggan.

"Kenaikan ini bergantung kepada sektor dan jenis perkhidmatan yang diberi bukannya secara purata berdasarkan suasana setempat. Misalnya Kuala Lumpur tidak sama dengan di Pulau Pinang," katanya.

Beliau menyatakan, keputusan tentang tambang tersebut bergantung kepada Kabinet setelah mendapat pandangan daripada semua pihak.

"Kenaikan ini juga akan mengambil kira soal menjaga kepentingan semua pihak termasuk operator, pemandu dan pengguna," katanya.

Tiada ulasan: