Rabu, 20 Mei 2009

Kelantan galak penggunaan SMS

Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU - Bagi mempertingkatkan sistem penyampaian kerajaan, Kelantan kini menggalakkan penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk menerima maklum balas daripada rakyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias berkata, selari dengan kemajuan teknologi maklumat, agensi-agensi kerajaan negeri diharap menggunakan mySMS sebagai platform untuk menyebar dan menerima maklum balas rakyat.

"Rakyat merupakan pelanggan kepada perkhidmatan awam," katanya ketika merasmikan seminar Peluasan Perkhidmatan mySMS peringkat wilayah timur di sini, semalam.

Seminar itu dihadiri 200 peserta dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Mohd Azamli Jamaluddin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato' Dr Zainuddin Ibrahim.Image

Selain itu Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Mohamad Ridzwan Mohd Taha, Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Dato' Kamaruddin Awang dan Timbalan Pengarah Bahagian EKL, MAMPU, Norhalina Abdul.

Mohd Aiseri berharap dengan adanya seminar mySMS, kakitangan kerajaan dapat menimba ilmu dan bertukar pendapat bagi penyediaan pelbagai maklumat untuk dihebahkan kepada rakyat.

Beliau juga berkata, pemilihan Kelantan sebagai tempat seminar dan penganjuran pelbagai program oleh agensi kerajaan persekutuan semakin meningkat sekarang.

Sementara itu, Norhalina berkata, penggunaan mySMS bermula pada Julai 2007 di kawasan Lembah Kelang dan ia dibahagikan kepada tiga fasa sehingga tahun 2010.

Menurutnya fasa pertama meliputi seluruh Lembah Klang, fasa kedua dan ketiga meliputi seluruh negara.

"Ketiga tiga fasa ini melibatkan 753 agensi kerajaan dalam penggunaan mySMS. MAMPU sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mempertingkatkan penyebaran maklumat melalui sistem ini," katanya.

Kata beliau nombor yang digunakan iaitu 15888 dan caj juga berpatutan. - mj _

Tiada ulasan: