Rabu, 20 Mei 2009

Kedah akan jadi pengeluar utama nanas

Oleh: WADIASSOFI JAAFAR


SUNGAI PETANI : Tanaman nanas merupakan bidang dan sektor pilihan dalam hala tuju pembangunan pertanian negeri Kedah Darul Aman 2008-2015 di mana nanas yang telah dicuba penanamannya di Daeraj Kota Setar dan Kuala Muda telah menunjukkan prestasi yang baik.

Di bawah hala tuju pembangunan pertanian, sebanyak 10,000 ekar tanah akan dimajukan dengan tanaman nanas di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Penerangan, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah berkata, hala tuju pembangunan pertanian ini juga mencadangkan nanas ditanam di bahagian selatan Kedah iaitu di Daerah Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling, Sik dan Kulim.

"Kita ingin menjadikan negeri Kedah sebagai salah sebuah negeri pengeluar utama nanas di negara ini di samping membolehkan pengusaha di kalangan usahawan dan petani memperolehi pendapatan melebihi RM3,000 sebulan," jelasnya.

Sebagai syarikat milik Kerajaan Negeri, katanya, Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) menerusi anak syarikatnya iaitu Kedah Agro Cashcrop Sdn. Bhd. (KACSB) akan memainkan peranan bagi menyokong semua agensi dan institusi yang berkaitan dengan pembangunan industri tanaman nanas di negeri ini.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Penanam-Penanam Nenas Negeri Kedah di Sungai Petani Inn, di sini.

Menurutnya, untuk itu, Kedah Agro akan terlibat secara langsung dalam pembukaan ladang nanas sama ada dilakukan secara usahasama dengan mana-mana pihak dari dalam atau pun luar negeri Kedah.

Beliau menjelaskan, Jabatan Pertanian Negeri Kedah juga bersedia untuk membuka ruang kepada pekebun-pekebun kecil nanas menanam tanaman itu di mana-mana tanah Kerajaan Negeri Kedah yang telah diberikan hak penggunaan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kedah.

"Misalnya KAHB menerusi anak syarikatnya, Kedah Agro Plantations Sdn Bhd (KAPSB) telah memperolehi tanah seluas 5,000 hektar di atas kompatmen 4,5,6,7,8,9 dan 10 di Daerah Baling untuk dimajukan sebagai Projek Ladang Hutan Tani," ujarnya.

YB. Dato' Ir. Haji Amiruddin Hamzah berkata, tanah yang akan mula dibangunkan semula dengan tanaman 'Latex Timber Clone' mulai tahun 2009 boleh dijadikan Pusat Tanaman Nanas berskala besar untuk selama beberapa tahun ketika penanaman semula.

Tambahnya, Kedah Agro sedia mempertimbangkan syarikat-syarikat yang mempunyai modal dan teknologi dapat mengusahakan tanaman nanas di sini dan bersedia memberi peluang yang sama kepada pekebun-pekebun kecil lain.

Turut hadir ialah Pegawai Pertanian Daerah Kuala Muda, Encik Mohamed Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Kedah Agro Holding Bhd, Tuan Haji Mohd. Anuar Tahir.

Tiada ulasan: