Selasa, 12 Mei 2009

Kayveas akan cadang anggota senior parti ganti Murugiah

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas akan mencadangkan beberapa nama anggota senior parti itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi bagi menggantikan Datuk T. Murugiah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang dipecat keanggotaanya.

Kayveas berkata beliau mungkin akan memberikan nama salah seorang daripada empat Naib Presiden parti itu bagi mengikut tradisi hierarki parti dengan memberi laluan kepada anggota yang telah lama berkhidmat.

"Apabila kita beri anggota junior (Murugiah) akan timbulkan masalah. Kita ada ramai naib presiden mungkin akan hantar satu nama yang senior," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan ulangtahun Umno ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini isnin malam.

Sabtu lepas, Kayveas mengumumkan bahawa Murugiah dipecat daripada parti itu atas tuduhan terlibat dengan politik wang selain didakwa cuba mencabar kedudukan presiden parti pemilihan PPP bulan depan.

Ketika diminta mengulas mengenai bungkusan kotak yang mengandungi dua butir kelongsong peluru dan sekeping nota ugutan yang diterima Murugiah di pejabatnya di Putrajaya hari ini, Kayveas berkata ia merupakan satu percubaan untuk merosakkan nama baik PPP.

Tiada ulasan: