Ahad, 24 Mei 2009

Kadar tambang baru pengangkutan awam diputuskan awal Jun: Nazri Aziz

BERNAMA


KUALA KANGSAR: Kadar tambang baru pengangkutan awam yang kali terakhir disemak pada 2005 dijangka akan dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan pada awal bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kadar tambang baru itu membabitkan bas henti-henti, bas ekspres, bas pengantara dan bas sekolah selain teksi serta kereta sewa.

"Di peringkat LPKP, kertas cadangan semakan tambang itu saya sudah lihat dan luluskan. Kita menunggu maklum balas semua kementerian sebelum semakan dibawa ke Kabinet," katanya

ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Temenggong, Kati di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kabinet dijangka akan hanya membincangkan kajian semakan tambang itu dalam mesyuaratnya pada minggu depan (awal Jun) kerana mempunyai banyak agenda lain yang ingin dibincangkan termasuk mengenai Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada mesyuarat mingguannya, minggu ini.

Mohamed Nazri tidak dapat menyatakan peratus kenaikan tambang baru berkenaan kerana ia membabitkan banyak sektor namun memberi jaminan kadar kenaikan tersebut tidak akan membebankan.

"Dalam membuat keputusan, kita sudah mengambil kira kepentingan operator pengangkutan awam dan juga pengguna. Kalau operator tak cukup makan, macam mana kita nak harap mereka memberikan perkhidmatan yang baik," katanya.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan bersetuju pada dasarnya memberi kenaikan tambang sebanyak 30 peratus, sekalipun pihak pengusaha bas ekspres, bas henti-henti, bas sekolah dan teksi meminta kenaikan antara 60 hingga 100 peratus.

Sementara itu, Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas menyifatkan rancangan pakatan pembangkang mengadakan kempen mogok lapar selama tiga hari mulai Selasa ini bagi mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan sebagai satu usaha untuk mempengaruhi mahkamah supaya membuat keputusan yang memihak mereka pada masa akan datang.

Beliau berkata, rancangan itu adalah satu tindakan tidak wajar yang tidak sepatutnya dibenarkan kerana ia boleh memberi kesan kepada pelaksanaan dan kebebasan mahkamah untuk membuat keputusan.

"Dalam masyarakat yang bertamadun khususnya di Malaysia, perkara sebegitu tidak sepatutnya dilakukan. Mereka (pembangkang) sepatutnya menggunakan akal mereka dan membuat rayuan kepada mahkamah Persekutuan.

"Hakikatnya apa yang mereka cuba lakukan dengan mogok lapar itu adalah cuba untuk mempengaruhi mahkamah dengan harapan hakim akan bersimpati dan memberikan keputusan yang memihak terhadap mereka kelak," katanya.

Tiada ulasan: