Ahad, 17 Mei 2009

Jawatan TPM: Anifah sedia disaman Anwar

BERITA HARIAN OLINE


SEPANG: Datuk Anifah Aman menegaskan beliau sedia disaman berhubung kenyataannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menawarkannya jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai umpan melompat parti selepas pilihan raya umum 2008.

Bercakap kepada pemberita sekembalinya dari New York, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pagi ini, Menteri Luar itu berkata, beliau tetap berpegang dengan kenyataannya itu meskipun Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mahu beliau menariknya semula atau menghadapi saman.

Semalam, peguam S N Nair yang mewakili Anwar, berkata anak guamnya itu mahu Anifah menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf dalam tempoh 24 jam berhubung tuduhan itu.

Nair berkata, Anwar memintanya memfailkan saman fitnah terhadap Anifah sekiranya menteri luar itu tidak menarik balik kenyataannya dan mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh yang ditetapkan.

Pada sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Hillary Rodham Clinton di Washington, Khamis lalu, Anifah berkata, beliau secara peribadi telah dipelawa menyertai pembangkang dan ditawarkan jawatan amat tinggi oleh Anwar.

Tiada ulasan: