Ahad, 17 Mei 2009

Isu Perak: Tak perlu bincang, beri mandat pada rakyat

Muhammad Arif Ismail


KUALA LUMPUR - "Cara terbaik bagi menyelesaikan masalah krisis di Perak adalah dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dan saranan Perdana Menteri,Dato' Seri Najib Tun Razak tidak perlu untuk membuka kesediaan untuk berbincang."

Demikian kata Pesuruhjaya PAS negeri Selangor II, Iskandar Abdul Samad yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Pandan ketika diminta mengulas kesediaan Najib bagi membincangkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam usaha menyelesaikan masalah di Perak.

Menurut beliau, Najib tidak perlu untuk membuka perbincangan untuk menyelesaikan masalah di Perak. Tetapi krisis itu ada cara terbaik iaitu menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan dengan melakukan pilihanraya semula.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Pameran Hartanah Bumiputera Selangor 2009 yang diadakan di pusat beli belah terbesar, Midvalley dekat sini semalam.

Pameran tersebut bermula pada 15 hingga 17 Mei yang dianjurkan oleh sebuah syarikat pengurusan bumiputera, MMC Sdn Bhd diadakan di Hall 2, Pusat Pameran Mid Valley.

"Terdapat 58 buah yang turut serta dalam pameran ini antaranya ialah Syarikat Lebar Daun Development Sdn Bhd, MK Land Sdn Bhd, IJM Land, Th Poperty, Mah Sing Group, Magna Park, Dijaya Corporation, bangi Height, Metro Kajang dan banyak lagi syarikat yang berwibawa,"katanya.

Pameran ini katanya, bertujuan untuk memelihara status pemilikan hartanah oleh kaum bumiputera sekitar Lembah Klang selari dengan Dasar wawasan Negara supaya pegangan ekuiti bumiputera dalam sektor hartanah meningkat secara berterusan.

"Nilai hartanah dianggarkan berjumlah melebihi RM 1 bilion yang meliputi rumah kediaman, lot perniagaan, dan lot banglo dengan jumlah 3,000 unit kuota bumiputera dipamerkan," katanya lagi. - mks._

Tiada ulasan: