Rabu, 20 Mei 2009

Husam, Mat Sabu cabar Timbalan Presiden Pas

Azmi Md Deros dan Haspaizi Mohd Zain


KUALA LUMPUR: Dua Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu sudah membuat keputusan mencabar Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, manakala Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Aziz Abdul Razak mengesahkan menarik diri bertanding jawatan itu.

Menurut sumber, Husam dan Mohamad dipercayai sudah menyatakan persetujuan bertanding kepada penyokong masing-masing, manakala Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din yang turut dicalonkan menentang Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok, belum membuat keputusan.

Katanya, keputusan yang dibuat Husam dan Mohamad itu membuka ruang kepada Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar untuk mengisi jawatan Naib Presiden.

Beliau berkata, Salahuddin membuat keputusan bertanding selepas beliau mendapat pencalonan yang menggalakkan dan sudah menghantar surat menerima tawaran bertanding kepada jawatan kuasa pemilihan parti itu.

“Salahuddin mendapat pencalonan kedua tertinggi di belakang Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Turut menawarkan diri Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah serta bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin,” katanya.

Jawatankuasa Pemilihan Pas yang akan mengumumkan senarai rasmi pemilihan pada 26 Mei ini menerima 16 pencalonan bagi mengisi tiga jawatan Naib Presiden yang kini disandang Husam; Mohamad dan Ahmad Awang.

Turut dicalonkan, Nasharudin, Azizan; Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali.

Sementara itu, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah dalam kenyataan medianya menjelaskan keputusan tidak bertanding jawatan timbalan dan naib presiden diambil bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada pembangunan dan pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau akan bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat walaupun mendapat pencalonan mencukupi bertanding jawatan timbalan dan naib.

Tiada ulasan: