Jumaat, 8 Mei 2009

Hisham menghadap Tuanku Mizan

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini bagi berbincang mengenai situasi politik di Terengganu.

Ketika ditemui di pejabatnya di sini, Hishammuddin yang dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu berkata, pertemuan itu bertujuan bagi mendapatkan nasihat, bimbingan dan harapan Tuanku Mizan sebelum beliau turun ke Terengganu untuk bertemu pemimpin-pemimpin UMNO negeri berkenaan.

‘‘Perkara yang paling penting sebelum saya turun ke Terengganu ialah untuk menghadap Tuanku kerana saya rasa tidak kena kalau tidak menghadap Tuanku untuk mendapat pandangan,’’ katanya.

Hishammuddin yang kelihatan ceria selepas pertemuan tersebut berkata, beliau dan Tuanku Mizan berbincang panjang lebar mengenai situasi di Terengganu.

‘‘Saya tengok Tuanku mempunyai harapan untuk kebaikan dan masa depan rakyat Terengganu. Saya yakin Tuanku Mizan percaya kepada niat saya kerana saya ke Terengganu bukanlah bertujuan ‘memusnahkan’ negeri berkenaan tetapi untuk membantu,’’ katanya.

Tiada ulasan: