Sabtu, 16 Mei 2009

Hisham jumpa ADUN BN T'ganu Rabu ini

Muda Mohd Noor


Perjumpaan yang menemukan ke semua 24 ADUN BN yang bertelagah di Terengganu serta ketua-ketua Umno bahagian di negeri itu, akan diadakan Rabu ini bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut politik di negeri itu.

Pertemuan itu akan diadakan di pejabat pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga menteri dalam negeri, di Putrajaya pada jam 10 malam.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh juga akan menghadiri pertemuan tersebut.

Perkara itu disahkan oleh ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, yang menerima SMS mengenai waktu, tarikh dan tempat pertemuan tersebut tengah hari ini.

Kelmarin, Hishammuddin berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan lapan ketua Umno bahagian dan 24 ADUN bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Kemelut politik Terengganu tercetus apabila 10 ADUN BN tidak menghadiri sidang DUN setelah tiga daripada mereka menerima SMS yang berunsur ugutan.

Kemelut berlanjutan

Ianya ada kaitan dengan desakan sekumpulan ADUN BN yang rapat dengan Idris yang mahu Ahmad diganti.

Bagaimanapun, mereka hadir pada hari terakhir sidang DUN setelah diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut menerima SMS mengenai pertemuan Rabu ini ialah ADUN Tepuh, Muhammad Ramli Nuh.

Sementara itu, exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Zaabar Adib berkata,
kemelut politik Terengganu kelihatan semakin reda sejak kebelakangan ini.

Katanya, kemelut yang berlaku sejak lebih sebulan lalu tidak akan selesai jika ada pihak yang berkeras mahu mempertahankan prinsip masing-masing.

"Kalau ada yang tidak memikirkan keutamaan bersama kemelut ini akan berlanjutan.

"Kemelut ini merugikan rakyat, saya berharap ia dapat diredakan segera. Tetapi sudah nampak ia semakin reda.

"Kita serahkan kepada pimpinan Umno untuk menyelesaikan kemelut tersebut," katanya.

Tiada ulasan: