Jumaat, 8 Mei 2009

Felcra Wilayah Timur Didakwa Salah Guna Kuasa

Editor Buletin


KUALA NERUS – Seorang kontraktor mendakwa berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pembahagian kontrak oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan atau Felcra Wilayah Timur.

Perkara tersebut dimaklumkan kepada MajlisPemuafakatan Rakyat Negeri Terengganu (MAMPAT) melalui satu surat yang disiarkan dalam laman blog MAMPAT.

Ketika dihubungi, Pengerusi MAMPAT, Cikgu Fauzi Abu Samah mengesahkan beliau menerima sepucuk surat daripada seorang kontraktor.

Katanya surat yang tidak bernama dan tidak bertanda tangan itu telah memperincikan projek-projek Felcra yang didakwa diberikan kepada orang yang sama, walaupun nama syarikat berbeza.

Katanya, projek-projek yang didakwa berlaku salah guna kuasa itu adalah projek ‘premix’ jalan masuk ke Felcra Limau Nipis, Marang, projek ‘premix’ jalan masuk ke Felcra Hulu Berang 1 dan 2 dan projek ‘premix’ jalan masuk ke Felcra Keruak, Besut.

Cikgu Fauzi berkata, surat yang ditujukan khas kepada MAMPAT memberikan satu gambaran pengiktirafan daripada masyarakat kepada MAMPAT untuk menjadi nadi penyambung maklumat dan pembela masyarakat.

“InsyaAllah MAMPAT akan mebuat satu laporan polis berkenaan surat tersebut,”katanya semalam.

Sebelum ini, MAMPAT turut membuat laporan polis terhadap dakwaan salah laku pengurusan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), namun ia dinafikan oleh pihak terbabit.

Tiada ulasan: