Ahad, 3 Mei 2009

Dua atlit kebangsaan kemalangan gara-gara Mat Rempit

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Angkara Mat Rempit, dua atlet kebangsaan dalam acara jarak sederhana, Amran Raj dan S. Mathialagan, dimasukkan ke hospital akibat terbabit dengan kemalangan jalan raya semalam.

Timbalan Presiden Kesatuan Atlet Amatur Malaysia (MAAU), Karim Ibrahim berkata Raj, salah seorang pelari utama negara bagi acara 4x400 meter dan Mathialagan, pelari junior kebangsaan untuk acara 800 meter, terbabit dalam kemalangan di hadapan Stesen LRT Bukit Jalil dekat sini pada kira-kira jam 4.30 petang.

Ketika kemalangan itu, Raj, duduk di sebelah pemandu, Mathialagan di tempat duduk belakang dalam kereta Perodua Kelisa yang dipandu oleh seorang pemain bola sepak kebangsaan. Mereka dalam perjalanan pulang ke Sri Petaling.

Karim berkata, menurut ingatan Raj apabila beliau melawatnya di Hospital Serdang dekat sini, kemalangan itu berlaku seelepas pemandu hilang kawalan kereta itu apabila beberapa Mat Rempit memintasnya dalam keadaan berbahaya, memaksa pemandu itu melanggari belakang kereta lain sebelum melintasi pembahagi jalan dan melanggar sebatang pokok bertentangan jalan berhampiran dengan Stesen LRT Bukit Jalil.

"Kereta itu rosak teruk. Ketiga-tiga mangsa itu dimasukkan di Hospital Serdang tetapi Mathialagan dibenarkan pulang kerana cedera ringan," katanya.

Raj yang cedera di tapak kaki kanan dan tulangnya patah dipindahkan ke Pusat Pakar Damansara untuk menjalani pembedahan, kata Karim.

"Kecederaan itu mungkin memakan masa lama untuk sembuh sepenuhnya.Bagaimanapun, kita beri jaminan bahawa acara pasukan lari berganti-ganti kebangsaan 4x400m mempunyai pelari lain untuk menggantikan Raj.Raj adalah anggota pasukan 4x400m, yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA Korat 2007.

Ini adalah kali kedua Raj dimasukkan ke pusat perubatan itu selepas menjalani pembedahan di kaki sebulan lepas akibat kemalangan jalan raya.

Awal semalam, ketua jurulatih kontinjen atlet kebangsaan Hanapiah Nasir cedera akibat kemalangan motosikal ketika bersiar-siar di Genting Highlands.Beliau mengalami pendarahan dalaman akibat tulang rusuk patah akibat kemalangan itu.

Tiada ulasan: