Rabu, 6 Mei 2009

Dana PTPTN dijangka defisit RM46 bilion

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


PUTRAJAYA - Dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dijangka mengalami defisit belanjawan sekitar RM46 bilion pada tahun 2020.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai langkah awal, kementeriannya kini menjalankan kajian terperinci bagi memastikan kelestarian PTPTN dan stabil untuk terus menampung keperluan pembiayaan pengajian kepada para pelajar.

"Selepas itu, kita akan bentang dan terpulang kepada kerajaan untuk menentukan bagaimana format serta bentuk cadangan yang diperlukan dalam usaha untuk terus menggerakkan peranan yang dimainkan PTPTN," katanya selepas merasmikan Portal Prapendaftaran Bagi Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) 2009 dan Penyampaian Surat Tawaran Pembiayaan Ijazah Lanjutan Di Bawah Pakej Rangsangan Ekonomi di sini semalam.

Terdahulu, semasa berucap Khaled memberitahu, kementeriannya akan memberi perhatian dan fokus kepada aspek 4P yang dijadikan sebagai penanda aras kepada kemajuan sesebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Untuk itu, semua naib canselor di IPTA perlu mencapai standard Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau berdepan risiko diberhentikan atau tidak disambungkan ke jawatan masing-masing.

Objektif 4P ialah Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN), pendemokrasian pengajian tinggi, pengantarabangsaan dan pembangunan pelajar.

Tiada ulasan: