Rabu, 20 Mei 2009

Chikungunya dikesan di dua daerah lain di Kedah

BERNAMA


ALOR SETAR: Penyakit deman Chikungunya di Kedah yang sebelum ini dikesan di daerah Pokok Sena dan Pendang, kini dilaporkan di daerah Kota Setar dan Padang Terap.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Hasnah Ismail, berkata beberapa pesakit di sebuah kampung di daerah Kota Setar dan enam kampung di Padang Terap dikesan menghidap penyakit bawaan vektor itu.

Katanya di Kota Setar, terdapat lebih dua kes di Kampung Baru Mukim Lesong manakala beberapa kes dikesan di Kampung Baru Naka, Kampung Padang Kerasak, Kampung Tong Plu, Kampung Banggol Pong, Kampung Padang Setol dan Kampung Malau di kawasan Padang Terap.

"Jabatan Kesihatan telah mengambil pelbagai cara dalam mengawal jangkitan penyakit itu, antaranya menjalankan semburan kabus di kawasan yang dipercayai tempat pembiakan nyamuk," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Hasnah berkata jabatannya memerlukan kerjasama penduduk dalam mengawal jangkitan deman Chikungunya dengan menjaga kebersihan persekitaran dan memusnahkan tempat takungan air.

Katanya pekebun dan penoreh getah diminta memakai kemeja berlengan panjang dan berseluar panjang ketika ke ladang bagi mengelak gigitan nyamuk.

Tiada ulasan: