Jumaat, 22 Mei 2009

BN wajar bertanding di DUN Manik Urai - Ahmad Maslan

BERNAMA


ALOR SETAR: Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan berkata secara peribadi beliau berpendapat Barisan Nasional (BN) wajar bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai di Kelantan nanti.

Beliau berkata ini kerana pilihan raya kecil itu bakal diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya.

"Secara peribadi atas jawatan Ketua Penerangan Umno, saya akan mencadangkan kepada pemimpin Umno agar BN bertanding pada pilihan raya kecil di Manik Urai kerana ia diadakan atas faktor kematian wakil rakyat dan bukannya faktor rekaan seperti di DUN Penanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Manik Urai dari PAS, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini kira-kira 5.55 pagi ini kerana sakit jantung.

Manik Urai terletak di dalam kawasan Parlimen Kuala Krai, yang turut mempunyai DUN Dabung, Guchil dan Mengkembang.

Ahmad sebelum ini menggesa semua pengundi BN memboikot pilihan raya kecil yang mungkin diadakan lagi pada masa depan jika didapati telah 'diatur' oleh pembangkang dan bukannya disebabkan faktor kematian wakil rakyat atau kerana perintah mahkamah.

Katanya, BN perlu berpolitik mengikut caranya tersendiri dan tidak harus terpedaya dengan perangkap pembangkang yang menjadikan siri pilihan raya kecil sebagai medan membina imej mereka.

Pada Isnin lepas, BN mengumumkan keputusan tidak bertanding pada pilihan raya DUN Penanti di Pulau Pinang 31 Mei ini.

Kerusi DUN Penanti kosong selepas penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan atas alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca ijazah.

Tiada ulasan: