Jumaat, 15 Mei 2009

Bidan lelaki sambut bayi dalam ambulans

BERITA HARIAN ONLINE


GEORGETOWN: Seorang pengusaha kafe melalui pengalaman mencemaskan apabila melahirkan anak dalam ambulans dengan berbidan seorang petugas lelaki St John Ambulans di Bayan Baru di sini, Ahad lalu.

Meskipun melalui saat-saat mencemaskan itu, Fariza Abdullah, 32, melahirkan anak perempuan dengan selamat dengan bantuan Pembantu Perubatan St John Ambulans, Muhammad Jusri Jamaluddin, 23.

Muhammad Jusri yang berkhidmat dengan persatuan itu sejak empat lalu, hanya mempelajari teori menyambut kelahiran bayi kira-kira sebulan lalu.

Bayi yang dinamakan Puteri Syifa Balqis, adalah anak kelima pasangan Fariza dan Ismail Salleh, 39.

Pasangan itu yang tinggal di Pangsapuri Sri Bayan Mas, Bayan Lepas, mengusahakan kafe di Universiti Sains Malaysia.

Menceritakan pengalamannya, Fariza berkata, dia terasa sakit belakang kira-kira jam 5 pagi dan tidak menyangka akan melahirkan anak kerana masih awal berbanding tarikh yang dijangkakan doktor.

Oleh kerana sakit berterusan, Ismail membawanya ke Klinik Kesihatan Bayan Baru. Ketika sampai jam 6.40 pagi, klinik itu belum dibuka kerana beroperasi mulai jam 7 pagi tetapi Muhammad Yusri sudah berada di situ kerana dia sering datang awal.

Secara tiba-tiba air ketuban Fariza pecah dan dia menjadi panik. Muhammad Yusri yang menyedari kejadian itu kemudian membawa Fariza ke sebuah ambulans milik St John Ambulans di situ.

Dengan berbekalkan teori menyambut kelahiran yang baru dipelajarinya, Muhammad Yusri berjaya menyambut kelahiran anak kelima pasangan itu tanpa sebarang masalah.

Tiada ulasan: