Selasa, 12 Mei 2009

Bekas polis dihukum gantung edar ganja

SINAR HARIAN ONLINE


KUANTAN - Seorang bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas disabitkan bersalah dalam Mahkamah Tinggi Kuantan semalam berhubung dua tuduhan mengedar ganja membabitkan berat keseluruhan 811.9 gram, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman dalam keputusannya semalam menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Isa Zainal Abidin, 52, bekas anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan selepas beliau meneliti semua keterangan 10 saksi (pendakwaan dan pembelaan) serta hujah kedua-dua pihak.

Dalam alasan penghakimannya semalam, Halim berkata, tertuduh yang diwakili peguamnya, Bob Arumugam gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah yang menyokong pembelaannya.

Menurut beliau. di akhir perbicaraan yang bermula 26 Mac 2007 hingga 21 April lalu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad berjaya membuktikan kes prima facie sebelum tertuduh dipanggil membela diri dan memilih untuk memberi keterangan di kandang saksi.

Beliau berkata, watak Shahril yang didakwa oleh tertuduh sebagai pemilik bungkusan yang ditemui dalam keretanya hanya muncul melalui keterangan tertuduh dan ia adalah watak yang direka semata-mata.

“Sebaliknya keterangan saksi pendakwaan berjaya membuktikan, ketika ditahan tertuduh hanya seorang diri dan tiada individu lain yang terlibat.

“Bagi pertuduhan kedua, inti pati pembelaan menafikan dadah yang ditemui dalam sebuah beg di dalam bilik tidur bukan miliknya juga tidak berasas,” kata beliau.

Halim berkata, keterangan saksi pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tertuduh sendiri yang membawa anggota polis ke kediamannya itu sebelum menunjukkan dadah tersebut yang disembunyikan berhampiran almari pakaiannya.

Sehubungan itu, di akhir hujah penghakimannya semalam, Halim membuat kesimpulan tertuduh mempunyai kaitan langsung dengan kedua-dua bungkusan dadah yang ditemui .

Tertuduh yang hadir memakai kemeja T berwarna biru kelihatan tenang sepanjang alasan penghakiman dibacakan bagaimanapun riak wajahnya tiba-tiba berubah apabila Halim memutuskan dia disabitkan atas kesalahan sebelum dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mandatori.

Mohd Isa yang ditahan ketika berusia 48 tahun didakwa atas dua tuduhan mengedar dadah jenis ganja di dua lokasi berbeza.

Dalam pertuduhan pertama, bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal itu didakwa mengedar 390.45 gram ganja di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah kedai nombor ekor, Jalan Tok Muda Haji Idris, Pekan kira-kira jam 5.15 petang, 14 Oktober 2005.

Ekoran itu, tertuduh yang berjaya diberkas dil okasi kejadian turut didakwa mengedar 421.46 gram ganja selepas dadah tersebut ditemui di kediamannya di Kuaters Polis IPD Pekan kira-kira jam 5.30 petang hari yang sama.

Berikutan penemuan dadah terbabit, tertuduh ditahan di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum dihadapkan ke mahkamah dan dibicarakan sehingga 21 April lalu.

Suasana menjadi agak dramatik sejurus tertuduh diiring keluar dari mahkamah apabila keluarganya yang menunggu di luar gagal mengawal perasaan apabila mengetahui lelaki itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Ketika diiringi ke van penjara, tertuduh sempat berpesan kepada anaknya supaya menjaga adik-adik dengan baik malah kalimat itu diulangi ketika berada di dalam van.

Tiada ulasan: