Rabu, 20 Mei 2009

Bekas jaguh pecut negara meninggal dunia

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Jaguh pecut Malaya antara 1949 dan 1954, Sidique Ali Merican meninggal dunia akibat serangan angin ahmar di kediamannya di Petaling Jaya malam tadi.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam laman webnya menyatakan kesedihan berikutan pemergian Allahyarham yang disifatkan satu kehilangan besar kepada negara.

Allahyarham Sidique, 79, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan meninggalkan seorang balu, Fatimah Shariff dan dua anak lelaki, Dr Ezlan dan Shazman.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunku, di PetalingJaya, selepas solat Zohor.

Enam dekad lepas, Allahyarham dinobatkan raja pecut Malaysia, ketika itu Malaya, selepas mencatatkan masa 10.3 saat dengan berkaki ayam dalam acara 100 ela (acara pecut ketika itu yang kemudian digantikan dengan acara 100 meter) pada satu kejohanan di Kota Bharu.

Bagaimanapun kejayaan Sidique yang paling mengagumkan ialah muncul rakyat Malaysia pertama yang berjaya melakukan catatan di bawah 10 saat bagi acara 100 ela pada 1952.

Catatan 9.8s dilakukannya pada satu kejohanan antara universiti di Britain ketika melanjutkan pelajaran di Kolej Loughborough.

Sidique kemudian beralih menjadi pentadbir sukan dengan jawatan tertingginya dalam kerajaan selaku Pengarah Sukan di Kementerian Belia dan Sukan pada 1981.

Selain itu, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik di Montreal (1976), Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan Komanwel di Edmonton (1978) dan Setiausaha Penganjur bagi Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1977.

Allahyarham Sidique juga pernah menjadi Penolong Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dari 1974 hingga 1986.

Tiada ulasan: