Isnin, 25 Mei 2009

Bekas Adun tabur semula janji lama di Manek Urai

Lanjusoh & Zuharman MN


KUALA KRAI - Umno Kelantan kini amat mengharapkan semangat Pengkalan Pasir pada 2005 berulang di Manek Urai, biar pun empat pilihan raya kecil pasca Mac 2008 nasib tidak menyebelahi mereka.

Lebih-lebih lagi Umno Kelantan di bawah Dato' Mustapa Mohamed, yang dianggap berjaya memulih kedudukan Umno pada pilihan raya umum 2004.

Maka tidak hairanlah sejak berita Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakub (Paksu Mail) jatuh sakit tersebar, Umno sudah melakukan gerak kerja keluar masuk kampung.

Difahamkan antara pemimpin Umno yang melobi untuk dicalonkan bekas Adun Manek Urai, Zulkifli Omar apabila dikatakan sudah menjelajah ke beberapa kampung di kawasan Dun terbabit.

Dan semalam beliau difahamkan mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kampung Budi.

"Pertemuan tersebut diadakan di sebuah kedai kopi. Zuki berucap di depan beberapa penduduk yang ada di kedai kopi tersebut dengan menjanjikan mahu memberi pelbagai bantuan kepada penduduk.

"Kalau hendak zink dia sanggup beri. Seorang rakan yang hadir pada pertemuan itu memberitahu sudah acap kali dia mendengar bekas wakil rakyat menabur janji serupa," kata seorang penduduk Sidi Mamat, 42 di sini.

Bagaimanapun laluan Zulkifli untuk dicalonkan pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan sukar memandangkan beliau tewas merebut jawatan Naib Ketua Bahagian Kuala Krai pada pemilihan yang diadakan tahun lepas.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Kuala Krai tewas kepada Jalal Che Muda.

Sementara itu di Kampung Manek Urai Lama, orang ramai masih lagi menziarahi keluarga Paksu Mail untuk merakamkan ucapan takziah.

Manakala pada sebelah malam diadakan tahlil arwah di masjid yang terletak tidak jauh daripada rumah Adun terbabit.

Sementara itu, seorang ahli Umno di Kubang Kerian turut merasai kehilangan Paksu Mail kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang bersikap peramah dan mesra rakyat.

"Sebenarnya saya tidak rapat dengan arwah Paksu, tetapi sesekali bertemu kita dapat merasai bagaimana kemesraan beliau dengan orang ramai.

"Peribadinya luhur. Beliau berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk pemimpin Umno. Sebab itulah saya juga merasai pemergian Paksu," katanya.

Paksu Mail kembali ke Rahmatullah pada pagi kelmarin di Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu selepas hampir sebulan menjalani rawatan. Beliau menderita penyakit gaot, jantung dan darah tinggi.

Allahyarham berkhidmat sebagai wakil rakyat di Dun Manek Urai selama lima penggal dan tidak pernah kalah dalam pilihan raya.

Seorang bekas pemimpin Parti Semangat 46 berkata, arwah Paksu Mail merupakan seorang wakil rakyat patut diteladani semua ahli politik. - mj _

Tiada ulasan: