Khamis, 14 Mei 2009

Bapa Nurin mohon hakim tentukan siapa bersalah

Oleh Norhashimah Mohd Radzali


KUALA LUMPUR: Bapa kepada Nurin Jazlin, kanak-kanak yang diculik dan dibunuh dengan kejam dua tahun lalu, membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi di sini, semalam, untuk memutuskan sama ada Ketua Polis Negara dan tiga pihak lain bertanggungjawab terhadap penyebaran gambar bedah siasat anaknya melalui internet.

Jazimin Abdul Jalil, 35, memfailkan permohonan itu melalui Tetuan Akberdin & Co, selepas Ketua Polis Negara dan tiga lagi defendan, mengaku dalam pernyataan pembelaan mereka seorang anggota polis, Lans Koperal Amran Arifin membawa balik draf dan lebihan laporan bedah siasat Nurin ke rumahnya.

Jazimin berkata, oleh kerana defendan sudah membuat pengakuan, mahkamah tidak perlu membicarakan kes itu lagi dan hanya perlu memutuskan sama ada defendan perlu memberikan pampasan atau ganti rugi kepadanya.

“Gambar itu bukan untuk tatapan umum dan ia dokumen sulit yang sepatutnya berada dalam kawalan defendan untuk digunakan bagi menjalankan siasatan dalam kes penculikan dan pembunuhan Nurin, bukannya untuk tatapan umum.

“Defendan jelas sudah memalukan saya dan keluarga, selain memberikan impak yang amat dahsyat terhadap emosi kami selepas kehilangan anak kami yang masih kecil,” katanya dalam permohonan itu.

Pada 21 Ogos 2008, Jazimin memfailkan saman kecuaian terhadap Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia.

Pada 5 Disember 2008, defendan dalam pernyataan pembelaannya mengakui gambar disiarkan melalui internet itu gambar bedah siasat Nurin, tetapi mendakwa kejadian itu berlaku di luar kawalan dan jangkaan mereka.

Defendan juga menafikan bertanggungjawab terhadap perbuatan Amran yang menyebabkan penyebaran gambar itu.

Defendan berkata, Amran menunjukkan laporan itu kepada jirannya yang ketika itu berada bersama saudara-maranya serta tanpa pengetahuan Amran, mereka merakam gambar sebelum disebarkan melalui internet.

Nurin, 8, murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Tiada ulasan: