Khamis, 28 Mei 2009

Air, elektrik institusi kebajikan patut percuma

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Institusi-institusi kebajikan yang diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini sepatutnya diberi kemudahan bekalan air dan elektrik secara percuma.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, kemudahan seumpama itu akan meringankan beban kewangan NGO yang mengendalikan institusi-institusi kebajikan di negara ini.

''Syarikat terbabit patut sedar bahawa membantu pusat-pusat kebajikan adalah tugas bersama.

''Membekalkan air dan elektrik secara percuma adalah tanggungjawab sosial syarikat-syarikat berkaitan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai masalah kewangan Pusat Jagaan Harian Warga Emas (PJHWE) Cheras Baru gara-gara kelewatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghulurkan bantuan kewangan kepada pusat tersebut.

Bantuan kewangan berjumlah RM33,000 setahun masih belum diterima oleh PJHWE tersebut sehingga hari ini.

Kelewatan tersebut menyebabkan pengurusan PJHWE berdepan dengan amaran pemotongan bekalan air dan elektrik kerana gagal menjelaskan bil-bil tertunggak.

Penyelaras PJHWE, Datuk Nordin Ibrahim berkata, jumlah bil air yang perlu dibayar adalah RM2,740.42 manakala tunggakan bil elektrik pula RM611.02 sen.

Mengulas lanjut isu tersebut, Mohd. Firdaus berkata, sumbangan syarikat-syarikat korporat akan menjadi rangsangan kepada NGO untuk terus berbakti membantu golongan yang memerlukan.

''Lagi pun syarikat terbabit boleh mendapat pengecualian cukai jika menyumbang kepada institusi kebajikan,'' jelasnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah juga berpendapat institusi kebajikan di negara ini sewajarnya menikmati bekalan air dan elektrik secara percuma.

Katanya, sepatutnya tidak ada masalah untuk membekalkan kemudahan asas itu kerana syarikat-syarikat tersebut mengaut untung berjuta-juta ringgit setahun.

''Membantu rumah-rumah kebajikan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi juga pihak swasta.

''Jika langkah itu dilaksanakan nasib golongan yang daif dan melarat di negara ini akan lebih terbela,'' katanya.

Tiada ulasan: