Khamis, 7 Mei 2009

Adun Teja kesal, sekatan polis 'melampau'

Wan Nordin dan Azamin Amin


IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang melahirkan kekesalan berikutan sekatan polis yang 'melampau' menyebabkan lanskap Bandar raya Ipoh 'cacat'.

Lih Kang yang dihubungi Harakahdaily sebelum masuk ke Dewan Undangan Negeri (Dun) pagi ini membantah sekatan yang dibuat polis sejak jam 9.00 malam tadi.

"Sekatan polis yang melampau menunjukkan polis diperkudakan untuk menjaga kepentingan BN, walhal kadar jenayah meningkat, rumah OCPD pun dirompak.

"Polis patutnya menjaga keselamatan bukan menjaga hal politik yang menyebelahi satu pihak," ujar Lih Kang.

Selain itu,kesesakan lalu lintas di sekitar Ipoh semakin teruk akibat sekatan di pelbagai jalan masuk menuju ke Jalan Bukit Gantang menyebabkan kenderaan-kenderaan berasak-asak cuba untuk masuk ke kawasan berkenaan.

Ini memandangkan terdapat ramai warga Ipoh yang bertugas juga di pejabat-pejabat swasta,kedai,bank yang berhampiran jalan tersebut iaitu berdekatan dengan Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan bagaimana warga Ipoh dapat memasuki kawasan pejabat mereka yang berdekatan bangunan tersebut memandangkan setengah kilometer, jalan telah pun ditutup.

Kesesakan semakin teruk di bulatan berhampiran Taman Tasik Senivasagam memandangkan orang ramai khususnya warga kerja Ipoh kelihatan terpinga-pinga, tidak mengetahui hala tuju untuk ke kawasan tempat kerja mereka.

Menurut satu sumber yang bertugas di pejabat guaman berhampiran bangunan Perak itu, bahawa semenjak semalam lagi pihak polis telah menutup jalan.

Selain,itu beliau juga turut diiringi dan diekori polis untuk ke pejabat beliau malam semalam. Keadaan katanya, telah menimbulkan resah warga Ipoh, yang menjalani kehidupan seperti biasa dikejutkan dengan suasana yng kelihatan umpama 'zon perang'. - wann /mks._

Tiada ulasan: