Ahad, 3 Mei 2009

500 mat rempit dan pelumba kereta haram ditahan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sebanyak 500 Mat Rempit dan pelumba kereta haram ditahan di kawasan Dataran Merdeka di sini dalam operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalulintas bermula dari 11 malam tadi hingga awal pagi tadi.

Para pelumba haram itu termasuk yang di bawah umur terperangkap apabila semua laluan di situ dikepung sepenuhnya.

Kira-kira 200 anggota polis trafik, narkotik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil bahagian dalam operasi bersepadu tersebut.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata dalam operasi itu didapati terdapat pelumba haram yang sengaja menggelapkan nombor plat kenderaan mereka, kononnya untuk menyukarkan pihak berkuasa mengesan pemilik kenderaan tersebut.

"Kita mendapati hampir kesemuanya mempunyai kesalahan seperti mengubah suai enjin, tiada cermin sisi, plat nombor pendaftaran motosikal digelapkan, nombor casis palsu dan pelbagai lagi.

"Kebanyakan Mat Rempit turut mengubah suai ekzos motosikal mereka," katanya.

Sebanyak 115 motosikal serta empat buah kereta yang diubah suai turut disita oleh JPJ.

"Kenderaan ini disita kerana tidak memiliki cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu dan kenderaan diubah suai tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan," kata Pengarah Penguatkuasa JPJ, Salim Parlan.

Beliau berkata sebanyak 30 buah kereta diberi notis untuk mengubah semula kenderaan mereka mengikut spesifikasi asal.

Tiada ulasan: