Isnin, 11 Mei 2009

42,700 projek pakej 1, 2

BERNAMA


KUALA LUMPUR – Kira-kira 42,700 projek bernilai RM5.6 bilion telah diberikan dan dilaksanakan di bawah dua pakej rangsangan, kata Ketua Pegawai Operasi Unit Pengurusan Projek (PMU) Datuk Ir. Mohamad Othman Zainal Azim hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 39,316 projek bernilai RM3.4 bilion adalah di bawah pakej pertama dan 2,745 projek bernilai RM2.2 bilion ialah yang dikenal pasti di bawah pakej rangsangan kedua dan menurutnya menjelang akhir bulan ini, semua projek di bawah pakej rangsangan pertama akan dilaksanakan sepenuhnya.

Projek dikenal pasti di bawah dua pakej rangsangan itu termasuk yang memerlukan dinaik taraf, pemulihan dan penyelenggaraan, kesihatan dan projek untuk membangunkan dan meningkatkan modal insan, memastikan kesejahteraan rakyat dan peningkatan daya saing. Projek berkenaan sedang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi yang berkenaan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Pakej rangsangan berkenaan yang merupakan 9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) direka untuk memperkukuhkan dan merangsang ekonomi dengan projek berimpak tinggi dan yang dapat menghasilkan faedah secara terus kepada rakyat di peringkat tempatan.

Ia juga direka untuk memperkukuhkan ekonomi dan meningkatkan daya tahan negara dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang sukar sekarang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara peribadi memantau semua aspek pakej rangsangan berasaskan setiap minggu. Pendekatan itu bagi memastikan sasaran yang ditetapkan di bawah kedua-dua pakej rangsangan dicapai.

Mohamad Othman juga berkata, terdapat sambutan menggalakkan terhadap laman web yang dikhususkan kepada dua pakej rangsangan berkenaan di seluruh negara, termasuk mereka dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Banyak daripada soalan yang dikemukakan boleh diletakkan dalam kumpulan iaitu mereka yang mahukan maklumat mengenai bagaimana untuk menjalankan perniagaan - baik di dalam negara mahupun di luar negara - mendapatkan pinjaman untuk memulakan perniagaan, mengenai perumahan, pengangkutan termasuk kemudahan jalan raya di luar bandar dan biasiswa.

Mohamad Othman berkata, pertanyaan dan cadangan berkaitan dengan kementerian dan agensi yang berbeza telah dikemukakan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Agensi dan kementerian berkenaan, masing-masing menjawab soalan yang dikemukakan secara terus kepada individu terbabit,” katanya.

Menurutnya, setakat ini lebih 130 soalan telah diterima oleh PMU melalui laman web itu yang dilancarkan pada 8 April 2009 dan kebanyakan soalan telah dijawab.

Untuk meningkatkan interaksi dengan orang ramai, versi bahasa Inggeris turut disediakan dalam laman web itu.

Sama seperti dengan laman web versi bahasa Malaysia — versi bahasa Inggeris www.rangsanganekonomi.treasury.gov.my juga direka untuk memberi maklumat kepada orang ramai dan membolehkan mereka mengetahui perkembangan pelbagai inisiatif dan program di bawah dua pakej rangsangan itu.

Laman web itu menawarkan maklumat peruntukan mengikut negeri, kementerian, projek dan teras pakej berkenaan.

Setiap agensi dan kementerian itu kemudiannya menyediakan maklumat mengikut bidang masing-masing. Laman web berkenaan juga menawarkan venue bagi maklum balas daripada orang ramai.

Najib dalam perutusan ringkas dalam laman web itu berkata: “Kami menyediakan laman web ini agar semua rakyat Malaysia boleh mengetahui dan mengikuti perkembangan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program yang telah dirumuskan untuk menangani isu ekonomi akibat daripada krisis ekonomi global.

“Langkah-langkah yang digariskan di bawah Pakej Rangsangan berkenaan bukan hanya fokus kepada merangsang ekonomi bagi jangka masa pendek tetapi juga membina kapasiti ekonomi jangka panjang. Ini akan memastikan Malaysia bersiap sedia untuk segera memanfaatkan peluang apabila ekonomi global pulih,” katanya.

Malaysia mengumumkan dua pakej rangsangan. Pakej rangsangan pertama sebanyak RM7 bilion diumumkan pada 4 November, 2008 dan pakej kedua, Bajet Mini RM60 bilion dibentangkan di Parlimen pada 10 Mac, 2009.

PMU bersama-sama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP) dan agensi relevan lain telah dipertanggungjawabkan untuk memantau kedua-dua pakej rangsangan. Di samping itu, sebuah jawatankuasa teknikal turut ditubuhkan untuk menyelesaikan isu dasar dan pentadbiran yang dibangkitkan.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan bermesyuarat setiap minggu. Jawatankuasa itu melaporkan kepada Jawatankuasa Tetap yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Tiada ulasan: