Rabu, 20 Mei 2009

30 pelatih PLKN ada tanda influenza

MALAYSIA KINI


Satu wabak disyaki influenza telah berlaku di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Setia Ikhlas di Semenyih dengan setakat ini 30 orang telah dikenal pasti mempunyai simptom influenza.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican dalam satu kenyataan hari ini berkata pelatih tersebut mempunyai gejala demam, batuk yang ringan, sakit tekak dan sakit badan sejak 14 Mei lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 26 telah dirawat di bilik isolasi kem, tiga di Hospital Kajang - seorang daripadanya di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua lagi di wad perubatan.

Seorang lagi pesakit telah keluar dari hospital semalam, menurut kenyataan itu, lapor Bernama.

Dr Ismail berkata kementerian itu akan membuat pengawasan dan kawalan dalam menangani situasi tersebut termasuk melakukan pengawalan vektor iaitu semburan kabus dan kajian aedes, pemantauan dan pemeriksaan harian semua pelatih, merawat dan merujuk kes yang bergejala ke hospital terdekat.

Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Kesihatan berkata jabatan itu telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber dan jenis influenza itu.

Beliau turut memberikan jaminan yang influenza itu tidak mempunyai kaitan dengan Influenza A (H1N1).

"Kami baru menerima kes itu pagi ini. Sampel telah dihantar untuk pemeriksaan dan kami mungkin memerlukan beberapa hari untuk menentukan puncanya," kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan semasa dihubungi Bernama.

Katanya pelatih yang dimasukkan ke wad ICU itu disyaki kes denggi.

"Ia mungkin influenza bermusim yang biasa atau denggi, kami masih menunggu keputusan ujian, kerana kedua-duanya boleh berlaku serentak," katanya.

Tiada ulasan: