Sabtu, 16 Mei 2009

30 kenderaan curi bernilai RM2.3 juta ditemui di Singapura

BERNAMA


SHAH ALAM: Sebanyak 30 kenderaan bernilai RM2.3 juta yang dipercayai dicuri di negara ini sebelum meleraikan komponen untuk permintaan pasaran ditemui semula di Singapura baru-baru ini.

Hasil perkongsian perisikan, polis Singapura membongkar kegiatan menyeludup dan meleraikan kenderaan yang didalangi oleh lebih dua sindiket berikutan penemuan kenderaan berkenaan di republik itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin berkata polis Singapura telah menyerahkan kesemua kenderaan yang dirampas itu kepada polis Malaysia pada 6 Mei lalu.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, katanya, kenderaan yang ditemui ialah 14 unit Toyota Hilux, Honda CRV (5), Toyota Fortuner (3), Nissan Frontier (3), Toyota Innova (2) dan masingmasing satu unit Toyota Camry, Toyota Avanza dan Nissan XTrail.

Beliau berkata semua kenderaan berkenaan kini ditempatkan di Kompleks Telekom, Seksyen 17 di sini dan akan dipulangkan semula kepada pemilik atau agensi insurans berdasarkan laporan kehilangan kenderaan.

Bagaimanapun, katanya, hanya seorang pemilik kenderaan curi itu tidak membuat laporan polis kerana mempunyai masalah melunaskan bayaran pinjaman kereta yang tertangguh.

Mohd Bakri berkata maklumat dari polis antarabangsa (Interpol) mendapati kenderaan curi dari Malaysia pernah diseludup ke Dubai, Afrika Selatan dan negara-negara di Timur Eropah.

Katanya polis sedang mengkaji cadangan memperkenalkan pasport kenderaan di pintu masuk dan keluar sempadan negara bagi mengelak berlakunya kes kenderaan curi diseludup ke negara luar.

"Pihak berkuasa akan memeriksa kenderaan melalui pasport berkenaan bagi memastikan ia dibawa oleh pemilik kenderaan terbabit dan tempoh berada di luar negara," katanya.

Mohd Bakri berkata sebelum ini kenderaan yang keluar masuk negara tidak mempunyai rekod tempoh masa berada di luar negara dan memudahkan kes seludup kereta curi dari Malaysia.

Katanya pihak polis sedang membincangkan cadangan penggunaan pasport kenderaan dengan beberapa pihak termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan.

Tiada ulasan: