Jumaat, 22 Mei 2009

25 pelatih PLKN masih dirawat

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seramai 25 pelatih Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Setia Ikhlas, Semenyih, Selangor masih menerima rawatan kerana disyaki mengalami "Influenza-like Illness" sehingga jam 8 pagi semalam, berbanding 30 pelatih kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata enam daripada mereka dirawat di Hospital Kajang dan Hospital Serdang manakala 19 pelatih lagi dirawat di bilik pengasingan dalam kem.

Baki lima lagi pelatih sudah dibenarkan keluar dari bilik pengasingan di kem itu selepas dilaporkan sihat, katanya.

Dr Ismail berkata, lima pelatih yang dirawat di Hospital Serdang adalah dua pelatih yang dirujuk dari Hospital Kajang dan tiga dirujuk dari kem PLKN untuk tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

“Seorang pelatih yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kajang kelmarin, sudah dipindahkan ke wad biasa. Semua pelatih berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan dua pelatih yang dirawat di hospital sudah dijangkiti jangkitan respiratori iaitu jangkitan Adenovirus.

“Kementerian Kesihatan sentiasa membuat pengawasan dan pengawalan dalam menangani situasi berkenaan,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan melaporkan seramai 30 pelatih di kem PLKN itu dikenal pasti mempunyai simptom Influenza tetapi tiada kaitan dengan Influenza A (H1N1).

Pelatih terbabit mempunyai gejala demam, batuk ringan, sakit tekak dan sakit badan sejak 14 Mei lalu.

Tiada ulasan: