Khamis, 7 Mei 2009

14 penyokong aktivis Wong dibebas

Wong Teck Chi


Semua 14 termasuk ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching - yang ditahan di depan balai polis Brickfields kerana membantah aktivis Wong Chin Huat direman semalam - telah dibebaskan malam tadi.

Wakil rakyat DAP itu jam dibebaskan jam 11.25 malam, orang terakhir yang dibebaskan sejak 10.50 malam. Semuanya dilepaskan tanpa syarat.

Polis tidak merekodkan keterangan apabila mereka enggan berbuat demikian, sebaliknya hanya mengambil butir-butir peribadi.

Wong jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang menyeru orang ramai berpakaian hitam hari ini bagi membantah persidangan DUN Perak - ditahan reman sehingga Jumaat.

Pensyarah kajian media itu, yang juga pengerusi Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami), ditangkap kelmarin di rumahnya Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur berhubung siasatan Akta Hasutan.

Kumpulan penyokong Wong mengadakan perhimpunan nyalaan lilin bagi membantah tindakan polis itu di tepi pintu masuk ibu pejabat polis daerah Brickfields.

Polis pada mulanya menahan lapan orang sewaktu sekumpulan 15 orang yang sedang memprotes kira-kira 9.15 malam.

Daripada jumlah tersebut, dua daripadanya penyelaras NGO hak asasi terkenal Suaram, dua orang pemimpin jawatankuasa hak sivil Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur dan pengarang edisi Cina akhbar PKR.

Senarai mereka yang ditahan, antaranya:

Temme Lee, 23, koordinator Suaram
John Liu, 26, koordinator Suaram
Liau Kok Fah, 47, jawatankuasa hak sivil
Chan Kim Ming, 34, jawatankuasa hak sivil
Law Teck Hao, 29, editor akhbar

Mereka ditahan sejurus selepas diberikan amaran agar bersurai oleh pegawai polis Brickfields.

Penahanan itu tidak mematahkan semangat penyokong Wong untuk terus berhimpun di tempat yang sama. Menjelang 10 malam, kira-kira 30 orang berkumpul dan memulakan semula protes nyalaan lilin.

Lebih kurang jam 10.10 malam, polis menahan empat orang lagi, termasuk Teo dan penulis kolum Josh Hong di situ.

Sepuluh minit kemudian, dua lagi ditahan polis di dalam sebuah kereta - termasuk bekas wartawan Merdekareview.com Lim Hong Siang.

Selasa lalu, bersama sekumpulan pemimpin pembangkang dan NGO yang bergabung dalam Bersih, Wong melancarkan kempen berpakaian hitam dengan slogan "1Malaysia Gelita, Demokrasi Didahulukan, Adakan Pilihanraya Sekarang."

Mereka meniru slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membawa wawasan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan."

Sementara itu, ketua polis negara menggesa penyokong pembangkang agar tidak berkumpul beramai-ramai dan memakai baju hitam ketika berlangsungnya persidangan dewan negeri itu.

Tan Sri Musa Hassan menasihatkan mereka supaya tidak melayan saranan Bersih supaya memakai baju hitam dan berhimpun sebagai membantah persidangan itu.

"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menahan mereka yang berhimpun atau menghalang ahli dewan bagi menggagalkan persidangan tersebut," beliau dipetik berkata.

Tiada ulasan: